Putrajaya — Kempen membangunkan Bandar Wakaf di Gaza melalui Projek Bandar Wakaf Malaysia di Gaza, yang akan dilancarkan dalam tempoh terdekat selepas bulan Ramadan, merupakan satu inisiatif luar biasa yang membawa dimensi baharu dalam usaha pemulihan Gaza pasca peperangan.
Setiausaha Agung ABATA, Sarfarizmal Md Saad, menyifatkan kempen ini sebagai langkah inovatif yang perlu disambut baik oleh masyarakat Islam di seluruh dunia serta semua pihak yang memperjuangkan hak kemanusiaan sejagat.
“Kempen Pulihkan Gaza yang dimulakan pada 16 Januari 2025 merupakan suatu pendekatan luar kotak yang perlu disambut baik oleh masyarakat Islam di seluruh dunia serta mereka yang memperjuangkan hak kemanusiaan sejagat,” katanya.
Kempen ini menumpukan kepada lima aspek utama bagi memastikan pemulihan Gaza secara menyeluruh, termasuk pembinaan semula kediaman bagi keluarga yang kehilangan tempat tinggal akibat konflik.
Kempen ini menekankan usaha pembinaan semula kediaman bagi keluarga yang kehilangan tempat tinggal serta pemulihan pendidikan untuk pelajar yang terkesan. Selain itu, perlindungan kepada anak-anak yatim yang kehilangan ibu bapa akibat peperangan turut menjadi keutamaan.
Di samping itu, pemerkasaan ekonomi Gaza turut diberikan perhatian bagi memastikan kelangsungan hidup rakyat Palestin, selain bantuan kecemasan serta keperluan asas kepada mereka yang masih dalam kesengsaraan.
Dalam pada itu, Sarfarizmal turut menggesa kerajaan-kerajaan negara Islam agar menyokong kempen ini serta menjadikannya sebahagian daripada dasar luar negara masing-masing bagi mempercepatkan proses pemulihan Gaza.
“Semoga usaha ini mendapat sokongan kerajaan-kerajaan negara Islam agar ia boleh menjadi dasar luar negara yang menyokong proses pemulihan Gaza bermula tahun 2025,” tambahnya.
Untuk rekod, projek berimpak tinggi ini berada di bawah naungan utama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selaras dengan peranan beliau sebagai peneraju ASEAN yang menekankan solidariti dan pembelaan terhadap rakyat Palestin.
Perdana Menteri memberikan sokongan terhadap Kempen Pulihkan Gaza seiring dengan Projek Bandar Wakaf Malaysia di Gaza, yang menjadikan Malaysia sebagai negara ASEAN pertama membangunkan bandar wakaf di wilayah bergolak tersebut.
inisiatif berimpakinggi ini bakal menyediakan perumahan, pendidikan, pusat kesihatan, infrastruktur wakaf, serta sokongan ekonomi bagi rakyat Palestin.
Sebelum itu, Global Peace Mission (GPM) Malaysia menyambut baik dan memberikan sokongan penuh kepada inisiatif Kerajaan Malaysia, khususnya di bawah kepimpinan Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam usaha mempercepatkan pembangunan semula Gaza, Palestin.
GPM turut mengalu-alukan kerjasama strategik antara Malaysia dan Jepun untuk menubuhkan dana pembangunan melalui inisiatif Asia Timur, yang akan memberi tumpuan kepada pembinaan semula infrastruktur penting seperti sekolah, hospital, dan masjid.