“Satu Kapal, Satu Nakhoda” – UMNO Perlu Berlayar Dengan Mentaliti Menang Menuju PRU16

KUALA LUMPUR: UMNO diingatkan supaya bergerak sebagai satu pasukan yang bersatu, patuh kepada kepimpinan dan membawa mentaliti menang menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menegaskan parti itu kini berada “dalam satu kapal dengan satu nakhoda” dan semua ahli wajib memberi kepercayaan penuh kepada kepimpinan untuk mengemudi bahtera parti merentasi gelombang cabaran politik.

Menurutnya, setiap ahli, walau sekecil mana peranan menyumbang secara langsung kepada kemenangan parti sekiranya melaksanakan tugas dengan amanah dan bersungguh-sungguh.

“Percayalah kepada nakhoda yang sedang memandu kapal ini. Dia tahu ke mana hala tuju kita. Tugas kita ialah beri sokongan penuh dan jalankan tanggungjawab masing-masing sebaik mungkin,” katanya memetik wawancara beliau bersama Berita Harian.

Beliau turut mengingatkan perwakilan supaya benar-benar meneliti setiap amanat pemimpin semasa Perhimpunan Agung UMNO (PAU) kerana banyak panduan penting boleh dijadikan bekalan untuk memperkukuh gerak kerja di peringkat akar umbi.

Mengulas isu ahli yang kecewa dan merajuk dengan parti, Wan Rosdy menegaskan semua keputusan mesti berpaksikan prinsip “Party Centric, UMNO Centric” iaitu meletakkan kepentingan parti mengatasi perasaan dan kepentingan peribadi.

Katanya, dalam landskap politik yang semakin mencabar dan ketika UMNO berkongsi kuasa, pemimpin perlu membuat keputusan berdasarkan realiti politik, bukan emosi.

Beliau memberi amaran agar ahli tidak terperangkap dengan permainan persepsi pembangkang yang cuba memancing mereka yang sedang kecewa demi kepentingan sendiri.

Wan Rosdy menjelaskan penyertaan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan bukan kerana terdesak, sebaliknya demi memenuhi titah Yang di-Pertuan Agong dan menyelamatkan negara daripada kekosongan kuasa.

“Ketika itu tiada mana-mana blok mampu membentuk kerajaan. Kita masuk bukan kerana gila jawatan. Kita letakkan syarat jelas bahawa Islam sebagai agama Persekutuan, hak istimewa orang Melayu, Raja-Raja Melayu dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan mesti dipelihara. Semua pihak setuju,” katanya.

Beliau menegaskan tanpa Kerajaan Perpaduan, UMNO bukan sahaja kehilangan ruang untuk berkhidmat, malah jawatan Menteri Besar juga tidak akan disandang oleh pemimpin parti itu.

“Sepatutnya kita dihargai kerana sanggup memikul tanggungjawab mentadbir negara, membantu ekonomi dan menjaga keselamatan. Ini bukan soal parti semata-mata, ini soal negara,” tegasnya.

BBerkaitan

Latest articles