KUALA LUMPUR: Sebarang cadangan daripada pembangkang berkenaan peruntukan kepada mereka akan dibincangkan menerusi pembentukan satu Jawatankuasa.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata jawatankuasa itu membolehkan isu peruntukan dapat diselesaikan secara konsesus.
Terdahulu cadangan untuk mewujudkan jawatankuasa khas itu mula dibangkitkan Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan selepas mendakwa tiada ruang perbincangan diberikan kepada pihak pembangkang.
“Kalau ada apa-apa kita kena bincang, kalau ada cadangan bagi kepada saya, kita akan bentuk satu jawatankuasa untuk kita (kerajaan dan pembangkang) duduk bersama berbincang,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Kemerosotan Kualiti Air Sungai Kebangsaan Bilangan 1 Tahun 2025, hari ini.
Fadillah yang juga Ketua Jawatankuasa Majlis Perundingan Kerajaan diminta mengulas kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang mengatakan, permohonan peruntukan kepada ahli-ahli Parlimen pembangkang sudah tiada perkembangan terkini.
Tambahnya, pihak kerajaan juga tidak mengambil sebarang langkah untuk menyelesaikan isu tersebut malah tidak pernah menjemput ahli Parlimen pembangkang ke meja rundingan.
Menjawab kenyataan itu, Fadillah berkata kerajaan tidak mahu mengadakan rundingan tersebut susulan pihak pembangkang bertindak menolak bulat-bulat isi kandungan draf MoU peruntukan Ahli Parlimen pembangkang yang disediakan sebelum ini.
“Dulu pembangkang juga yang mengatakan mereka tidak mahu berunding, mereka tak setuju apa semua (tentang MoU) jadi sebab itu saya kata tak ada lah perundingan.
“Yang ada dengan Syed Saddiq (Ahli Parlimen Muar)…Memang saya menerima cadangan daripada beliau. Tetapi (Ahli Parlimen) lain tiada.
“Berhubung tuntutan Syed Saddiq, kita masih muktamadkan,” ujar beliau lagi.
Sebelum ini, Syed Saddiq mengkritik kerajaan dengan berkata kerajaan perlu berhenti berteka-teki mengenai peruntukan tersebut dan berterus terang mengenai perkara itu kepada umum.
Jelasnya beliau sudah lima kali mengadakan rundingan dengan Fadillah namun masih belum menunjukkan perkembangan positif.