Sarawak Sifatkan Pindaan Perlembagaan MA63 Sebagai Suatu Kemenangan

LIMBANG: Pindaan Perlembagaan Persekutuan yang dibuat di Dewan Rakyat, dua hari lalu adalah selari dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) terhasil atas semangat penubuhan Malaysia.

Mengambil semangat itu, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, Sarawak akan terus memperjuang hak dan kepentingan negeri ini.

Malah perkembangan itu juga menunjukkan kemenangan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan kepercayaan tinggi terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

“Syukur alhamdulillah semalam ia diluluskan dipinda, ini hasil perjuangan GPS yang dipimpin oleh Abang Johari.

“Kita tidak mahu Sarawak anak Malaya dan Sabah anak Malaya.

“Yang kita mahu Sarawak anak Malaysia, itu sebab kita perjuangkan,” katanya ketika menghadiri Taklimat Projek Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) dan Bantuan Kewangan SME di Rumah Thaddeus Aling, Kampung Pulau Brunei di sini, semalam.

Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar, calon GPS kerusi Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Residen Bahagian Limbang Ahmad Denney Ahmad Fauzi dan Pengarah NRDA Datu Ubaidillah Latip.

Awang Tengah menjelaskan lagi, dalam perlembagaan menjelaskan tentang kuasa yang ada seperti minyak dan gas seperti yang termaktub sebagaimana yang diperjuangkan.

“Hak ini terus diperjuangkan dan kepentingan kita mana yang terhakis harus dikembalikan dan ini terus diperjuangkan,” ujarnya.

Sehubungan itu, Sarawak akan terus bekerjasama dengan kerajaan persekutuan yang mesra dengan negeri ini dan hasil pendapatan negeri ditambah melalui cukai penjualan minyak dan gas.

“Melalui cukai jualan minyak dan gas Sarawak memperolehi RM7 bilion daripada sumber ini saja dan ini akan diteruskan dan Sarawak akan terus meningkatkan penglibatan dalam minyak dan gas,” kata Awang Tengah.

Katanya, pendapatan Sarawak yang meningkat ini juga akan mampu membangunkan negeri termasuk di Limbang dan Lawas dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada masyarakat melalui pendapatan cukai jualan minyak dan gas.

Malah keadaan ini berbeza dengan pembangkang yang dilihat tidak akan membawa rakyat ke tempat yang dituju.

“Pada 18 Disember ini kita akan membentuk kerajaan dan kejayaan mendapatkan kerusi itu pasti.

“Rakyat sedar, demi memajukan negeri ini mereka mengharapkan kerajaan GPS ini bagi memperjuangkan hak mereka,” katanya.

Katanya, GPS bukan saja merancang tetapi sudah mempunyai rekod melaksanakan pembangunan di Sarawak walaupun secara berperingkat.

“Kita ada jiwa untuk membantu rakyat,” katanya.  

BBerkaitan

Latest articles