KUALA LUMPUR: Naib Presiden Malaysian Indian Congress (MIC), Datuk Seri M. Saravanan menegaskan parti itu tidak pernah membuat keputusan rasmi untuk menyertai Perikatan Nasional (PN).
Beliau menolak dakwaan kononnya MIC telah diterima sebagai komponen gabungan tersebut, sambil menegaskan tiada permohonan rasmi pernah dikemukakan.
Menurutnya, sebarang keputusan berkaitan hala tuju parti masih belum dimuktamadkan kerana perkara itu belum diputuskan oleh Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC).
“Saya sudah jelaskan dari awal, keputusan hanya akan dibuat oleh CWC. Setakat ini, tiada sebarang ketetapan,” katanya.
Sebelum ini, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan memaklumkan bahawa MIC telah diterima secara rasmi sebagai sebahagian daripada gabungan itu.










