Saravanan: Larangan Guna Istilah ‘Kuil Haram’ Atas Permintaan Akar Umbi Masyarakat India

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan menegaskan bahawa permohonan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar kerajaan menghentikan penggunaan istilah “kuil haram” adalah atas permintaan akar umbi masyarakat India, sekaligus bukan isu yang perlu dibincangkan di peringkat Jemaah Menteri.

Menurut beliau, tindakan tersebut mencukupi sekiranya dibuat atas arahan perdana menteri, tanpa memerlukan kelulusan Kabinet.

“Saya sampaikan surat kepada perdana menteri dan Fahmi Fadzil (jurucakap kerajaan perpaduan) kata Kabinet tak bincang, bagi saya tak perlu sampai dibincang peringkat Kabinet,” katanya memetik FMT.

“Cukup perdana menteri buat keputusan dengan arahkan ketua setiausaha negara maklum kepada agensi berkaitan dalam soal ini,” jelas Saravanan lagi.

Isu ini timbul selepas kenyataan daripada pengurusan Hospital Taiping yang menyebut akan mengambil tindakan undang-undang terhadap sebuah kuil Hindu yang dilabel sebagai ‘kuil haram’ di kawasan hospital tersebut.

Saravanan kemudiannya menghantar surat rasmi kepada Anwar, memohon agar semua agensi dan jabatan kerajaan menghentikan penggunaan istilah tersebut.

Beliau menyatakan bahawa istilah itu menyinggung perasaan penganut Hindu, memandangkan banyak kuil Hindu telah wujud sejak zaman pentadbiran kolonial lagi, sebelum penggubalan Kanun Tanah Negara 1965.

“Kerajaan tidak seharusnya mengabaikan fakta sejarah penubuhan kuil Hindu di negara ini,” katanya dalam surat tersebut.

Terdahulu, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan bahawa permohonan Saravanan itu tidak dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

Isu berkaitan status kuil Hindu juga mendapat perhatian baru-baru ini susulan cadangan pemindahan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Kuala Lumpur bagi memberi laluan kepada pembinaan Masjid Madani.

Namun, kerajaan memaklumkan bahawa persetujuan telah dicapai untuk memindahkan kuil berusia lebih 130 tahun itu ke tapak baharu yang terletak hanya 50 meter dari lokasi asal — satu langkah yang digambarkan Perdana Menteri sebagai “penyelesaian menang-menang”.

BBerkaitan

Latest articles