KUALA LUMPUR: Dakwaan kononnya tiada sambutan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 di New York, Amerika Syarikat (AS) Jumaat lalu ditepis oleh Datuk Dr. Puad Zarkashi.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu menegaskan bahawa beliau adalah ‘saksi hidup’ apabila Anwar diberi tepukan gemuruh sebanyak sembilan kali ketika berucap.
Reaksi itu diberikan selepas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Noor mendakwa ucapan Anwar di UNGA tidak mendapat sambutan perwakilan dunia.
Menjelaskan lebih lanjut, Puad berkata, beliau duduk di kerusi VIP bersama Duta Besar Malaysia ke AS, Datuk Seri Nazri Aziz dan Exco Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin.
“Astaghfirullah. Itu kata hati nurani saya bila mendengar komen Muhammad Sanusi Md. Noor mengenai ucapan Anwar di UNGA ke-78 di New York.
“Saya hadir di UNGA tersebut. Saya saksi hidup. Saya di dalam Dewan Persidangan Utama PBB. Saya duduk di kerusi VIP bersama Datuk Nazri Aziz dan Datuk Sharkar.
“Bahkan, saya hadir tiga hari berturut turut (Selasa hingga Khamis) mendengar ucapan ketua-ketua negara lain sebelum PMX berucap pada hari Jumaat,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.
Muhammad Sanusi turut mendakwa, situasi dewan yang lengang ketika Anwar berucap menyampaikan kenyataan negara pada Jumaat lalu cukup memalukan.
Sedangkan menurut Puad, ucapan mukadimah Anwar sahaja sudah mendapat tepukan apabila menyentuh mengenai Perang Russia-Ukraine yang memberi kesan buruk kepada global.
“Tetapi ketika Presiden Iran, Ebrahim Raisi berucap, dia mengangkat al-Quran tetapi tidak ada siapa yang tepuk tangan. Begitu juga ucapan Presiden AS, Joe Biden juga tiada sambutan dari perwakilan.
“Perdana Menteri New Zealand, Christopher John Hipkins beritahu dia rasa lega kerana orang ketiga berucap selepas Anwar. Dia rasa tenggelam jika berucap selepas Anwar.
“Dalam 15 minit ucapan itu, Anwar menyentuh isu perang Russia-Ukraine, Palestin, Myanmar, Islamfobia, low carbon and renewal energy roadmap oleh Malaysia dan rasisme bentuk baharu,” katanya.
Puad berkata apa yang nyata kini adalah Muhammad Sanusi merupakan seorang kaki fitnah dan menggunakan gambar tanpa usul periksa.
“Saya rakam banyak foto yang saya lampirkan. Oleh kerana saya saksi hidup, maka Sanusi Menteri Besar wajar digelar “pemimpin pembohong” nombor satu Malaysia,” katanya.