Sanusi Menang Saman Fitnah, Saifuddin Diperintah Bayar RM600,000

ALOR SETAR: Mahkamah Tinggi Alor Setar hari ini memutuskan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, membayar ganti rugi sebanyak RM600,000 kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung saman fitnah berkaitan isu nadir bumi (REE) dan dana penyelenggaraan jalan negeri (MARRIS).

Hakim Dr. John Lee Kien How @ Mohd Johan Lee dalam penghakimannya turut mengarahkan Saifuddin membayar kos guaman RM70,000 serta menerbitkan permohonan maaf dalam media berbahasa Melayu dan Inggeris dalam tempoh 14 hari.

Teks permohonan maaf tersebut perlu mendapat kelulusan Sanusi terlebih dahulu.

Selain itu, mahkamah juga mengeluarkan perintah injunksi kekal dan satu akujanji melarang defendan daripada mengulangi kenyataan berunsur fitnah terhadap plaintif.

“Defendan gagal membuktikan fakta substantif yang mewajarkan kenyataannya. Pembelaan justifikasi dan komen adil juga tidak dapat dipertahankan,” kata hakim ketika membacakan keputusan.

Sanusi pada asalnya menuntut ganti rugi keseluruhan berjumlah RM5 juta termasuk ganti rugi am, teladan dan teruk.

Namun, mahkamah selepas menilai amalan lazim kes saman fitnah hanya menganugerahkan jumlah global RM600,000.

Pada Ogos 2023, Sanusi memfailkan saman terhadap Saifuddin melalui Tetuan Faizi & Associates, mendakwa beliau difitnah ketika ceramah kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah pada 15 Julai 2023 di Guar Chempedak.

Dalam ceramah tersebut, Saifuddin didakwa menuduh Sanusi mencuri unsur nadir bumi (REE) di Kedah serta menyalahgunakan peruntukan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS).

BBerkaitan

Latest articles