KUALA LUMPUR: Para pengundi, terutama penyokong Perikatan Nasional (PN) perlu menilai semula sikap pemimpinnya selepas melanggar etika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN), bahkan biadap dengan institusi Sultan dan Raja-raja Melayu.
Gesaam itu dibuat Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari selepas dirinya menjadi ‘mangsa’ kempen Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang memperlekehkan keputusan Sultan Selangor dalam pemilihan Menteri Besar.
“Ada laporan polis saya rasa akan dibuat oleh beberapa orang teruskan laporan itu dibuat. Itu menunjukkan sikap munafik mereka terutama bila bercakap tentang isu Melayu.
“Tetapi, selalu dan berulang kali melanggar bukan sahaja disiplin berkempen, tetapi terma dan juga adab dengan sultan atau Raja-Raja Melayu,” katanya memetik Utusan Malaysia.
Baru-baru ini dalam jelajah kempen PN, Muhammad Sanusi membuat perbandingan antara Sultan Kedah dan Sultan Selangor dalam melantik Amirudin menjadi menteri besar yang dilabelnya sebagai “cokia”.
Menurut Amirudin, jelas Muhammad Sanusi dan pimpinan PN tiada modal lain untuk berkempen apabila tiada hujah fakta dan data untuk dikemukakan bagi menyangkal segala kemakmuran dan kejayaan dicapai PH di Selangor.
“Otak dia bukan dekat lutut, tetapi tapak kaki, dia berhujah sembarangan sebab tak ada angka, tak boleh buktikan, tak ada data, lalu sebut juga dalam serangan ‘bolehlah rizab besar, ada simpanan’. Sanusi tak boleh jawab fakta, dia buat cerekarama.
“Semalam saya cukup tersentuh dan bersedih, dia hina pula Sultan Selangor kononnya tak macam Sultan Kedah, ini kita di Kuala Selangor tempat asal Selangor di sinilah kelahiran Sultan Ibrahim yang popular di Bukit Malawati dan tempat ini kita berpayung di bawah Negeri Selangor.
“Hei Sanusi jangan kurang ajar, orang Selangor akan ajar kamu, ajar PN dalam pilihan raya akan datang,” ucapnya.