Sanusi Kena Taubat Nasuha – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor tidak sepatutnya menggunakan politik sebagai bahan lawak dalam meraih sokongan, terutama menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).

Menurut Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Muhammad Sanusi yang juga sebagai menteri besar di negeri mengamalkan nilai Islam, beliau tidak sepatutnya menjalankan kempen yang akan merosakkan dirinya, dan pasti memberi kesan kepada gabungan politiknya.

Dalam menyerang pihak lawan sekali pun, Ahmad Zahid berkata setiap pihak perlu menggunakan fakta, bukan sekadar cakap dan membuat lawak.

“Politik ini bukan bahan lawak dan bahan untuk bergurau. Fakta adalah fakta. Bagaimana BN dititah mengadap, itu fakta, bagaimana PH juga dititah mengadap, itu fakta. Juga GRS dan GPS.

“Kalau itu satu tuduhan oleh seorang yang mengetuai kerajaan negeri yang pegangannya adalah Islam, saya harap taubat nasuha perlu dibuatnya supaya semua perkara jadi bahan kempen rosak sendiri.

“Tak perlu saya jawab perkara yang jadi fakta dan ini akan jadi siri isu dan dibahaskan oleh orang yang tidak bijaksana dan tak beza fakta dan auta,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) di antara Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) di kementeriannya hari ini.

Terdahulu Muhammad Sanusi dikaitkan dengan satu siri ceramah yang didakwa mengeluarkan kenyataan yang menghina Yang Di-Pertuan Agong, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menerusi video tular dipercayai ketika menyampaikan ceramah, Mohamad Sanusi juga turut didakwa meremehkan pelantikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Sehubungan itu, Angkatan Muda Keadilan Selangor akan membuat laporan polis terhadap Menteri Besar Kedah dan Naib Presiden Pas itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam hari ini.

BBerkaitan

Latest articles