KUALA LUMPUR: “Jumpa di mahkamah…kita kisahkan tentang sejarah.”
Itu reaksi Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Sanusi Md Nor terhadap saman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan kenyataan fitnah.
Sanusi mendakwa beliau bercakap mengenai sejarah berkaitan “berperwatakan tidak bermoral”.
Hantaran di Facebook Sanusi malam tadi juga disertakan dengan beberapa gambar dokumen peguamnya.
Beliau berkata demikian selepas Anwar memfailkan saman fitnah dan menuntut ganti rugi kerana merosakkan reputasinya disebabkan dakwaan itu.
Sanusi didakwa membuat kenyataan itu dalam sebuah ceramah menjelang pilihan raya umum ke-15. Video ucapan itu kemudiannya disiarkan di Facebook.
Anwar juga mendakwa Sanusi membayangkan beliau menyalahgunakan kuasa sebagai Ahli Parlimen, penipu, pengkhianat, munafik dan bukan Islam yang baik.
Anwar menerima pengampunan diraja penuh dari Yang di-Pertuan Agong pada 16 Jun 2018 bagi tiga sabitan terhadapnya – iaitu satu tuduhan salah guna kuasa dan dua tuduhan liwat – atas alasan berlakunya “salah laksana keadilan”.