Sanusi Digesa Buat Permohonan Maaf, Bayar Ganti Rugi RM10 Juta

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menuntut Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memohon maaf dalam tempoh 48 jam, selain membayar ganti rugi RM10 juta.

Amirudin juga menuntut Muhammad Sanusi menarik balik fitnah serta tidak mengulangi kenyataan tersebut.

Tuntutan tersebut telah disampaikan menerusi peguam beliau kepada Muhammad Sanusi pada jam 7.36 malam tadi.

Sekiranya Menteri Besar Kedah itu gagal memenuhi tuntutan tersebut, maka tindakan undang-undang di mahkamah akan dimulakan oleh Amirudin.

Muhammad Sanusi dalam satu ceramah di Jitra, Kedah pada 2 Ogos lalu mendakwa Amirudin memberi tanah secara percuma kepada sebuah Syarikat swasta.

Tuntutan saman itu dinyatakan Amirudin dalam satu kenyataan ringkas malam ini.

Semalam Pengasas dan Penasihat Berjaya Corporation Berhad, Tan Sri Vincent Tan dan Berjaya Land Berhad menuntut permohonan maaf secara terbuka dan pampasan ganti rugi RM200 juta daripada Muhammad Sanusi.

Ia berikutan kenyataan yang didakwa berunsur fitnah dikeluarkan Menteri Besar Kedah itu mengenai projek Gerbang Maritim Selangor (SMG).

Syarikat itu dalam satu kenyataan merujuk dakwaan-dakwaan Muhammad Sanusi ketika Jelajah Mega PN Best “Sayangi Kedah Sejahtera” di Dataran Darul Aman, Jitra, minggu lalu bahawa wujud skandal antara Amirudin dengan Vincent untuk melaksanakan projek RM10 bilion di Sungai Klang.

BBerkaitan

Latest articles