Sanusi Angkat Sumpah Sebagai MB, Mahu Jalin Hubungan Baik Dengan Putrajaya

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor hari ini mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah di Istana Anak Bukit, di sini, bagi penggal kedua.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu melafazkan sumpah di hadapan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di Istana Anak Bukit.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah Sabtu lalu, Muhammad Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri dengan majoriti 16,050 undi bagi menewaskan Datuk Muhamad Khizi Abu Kassim dari Barisan Nasional.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi berkata kerajaan negeri yang dipimpinnya mahu menjalin hubungan yang baik dengan kerajaan pusat.

“Kita bersedia untuk lembaran baharu, kalau mereka (Kerajaan Perpaduan) sedia, alhamdulillah.

“Kalau mereka (Kerajaan Perpaduan) masih simpan dalam hati saya tak tahu.

“Mana boleh simpan dalam hati hal-hal pemerintahan kerajaan, urusan ikut prosedur kerajaan, hal hati mana boleh bawa dalam tu, kena simpan dalam peti.

“Takkan pilihan rakyat nak marah, menghukum rakyat Kedah, kerana rakyat Kedah pilih PN, mana boleh macam itu, ini demokrasi, ingatlah dosa pahala semua,” katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman.

Malah, Muhammad Sanusi mendakwa menghukum rakyat Kedah semata-mata memilih Perikatan Nasional (PN) untuk mentadbir negeri.

‘Mana boleh hukum rakyat Kedah pilih PN, jangan hukum orang kerana itu, kita beri rakyat memilih, rakyat pilih, kita hukum mana boleh. Berdosa,” ujarnya.

BBerkaitan

Latest articles