Sanggupkah Warisan Korbankan Beberapa Kerusi Suku Kaum Kepada Upko?

Sebagaimana yang sedang dihadapi Umno dan Bersatu di Sabah, masalah perebutan kerusi juga akan dialami gabungan Warisan – Pakatan Harapan (PH) dan Upko dalam mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Penganalisis politik, Dr. Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) berpendapat, Warisan yang dipimpin Datuk Seri Mohd Shafie Apdal perlu mengorbankan beberapa kerusi DUN untuk suku kaum tertentu.

“Saya percaya mereka juga berdepan kepincangan berhubung soal pengagihan kerusi kerana pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, Upko bertanding atas tiket Barisan Nasional.

“Kali ini, Warisan terpaksa melepaskan beberapa kerusi yang diperuntukkan kepada suku kaum Kadazan Dusun, Murut dan Rungus kepada Upko. Cumanya sekarang terlalu awal untuk bincang soal pembahagian kerusi,” katanya seperti dilaporkan FMT.

Upko, sebelum ini menang di kerusi DUN Paginatan, Kadamaian, Nabawan, Kuala Penyu dan Kuamut pada PRU14.

Upko bagaimanapun meninggalkan kerjasama politiknya dengan Barisan Nasional (BN) untuk menyertai Warisan yang menjadi kerajaan negeri selepas menang dalam PRU14.

Dalam masa yang sama, Lee berpendapat Warisan perlu sedar bahawa Umno masih mempunyai pengaruh di Sabah, terutama di kalangan Bumiputera Islam meskipun bilangan undinya berpecah pada pilihan raya yang lalu.

“Hanya kerusi majoriti Cina di kawasan bandar dan separa bandar yang menyumbang kepada Warisan-PH hingga terikat jumlah sama, iaitu 29 kerusi dengan BN dan kuasa ketiga ketika itu dari parti STAR,” ujar Lee.

Sabah bakal mengadakan pilihan raya negerinya tidak lama lagi susulan pembubaran DUN yang diumumkan pada minggu lalu.

Ramai menjangkakan pertembungan sengit antara Shafie dan bekas ketua menteri, Tan Sri Musa Aman untuk merebut kembali jawatan ketua menteri Sabah.

Komen

Berkaitan

Media Sosial

19,954FansLike
3,873FollowersFollow
21,200SubscribersSubscribe

Terkini