Sanggup Beratur Panjang Demi Ayam Sekilo RM1.99, Peniaga Kena Tegur

Penjual ayam daging di Besut yang menjual ayam pada harga RM1.99 sekilogram hingga mengakibatkan orang ramai beratur panjang di Besut tanpa mempedulikan arahan perintah kawalan pergerakan pada minggu lalu, telah ditegur oleh polis.

Polis Terengganu memaklumkan sebaik sahaja mendapat maklumat mengenai perkara berkenaan yang tular di media sosial, unit peronda MPV dan Unit Rondaan Bermotosikal telah dihantar ke kawasan berkenaan

”Kita menasihatkan orang ramai untuk menjaga penjarakan sosial, memakai penutup hidung dan mulut serta ‘hand sanitizer’ dan teguran juga dibuat kepada pengusaha gerai tentang pematuhan PKP ini,”  kata polis dalam kenyataan di Facebook Polis Terengganu semalam.

Khamis lalu, satu akaun pengguna media sosial mendakwa orang ramai di salah satu kedai menjual ayam daging di Besut tidak mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sanggup beratur panjang untuk membeli ayam yang dijual pada harga RM1.99 sekilogram.

Menerusi akaun twitter Nik Farhan, beliau nyata kecewa dengan tindakan orang ramai disitu yang mengundang bahaya kerana tiada penjarakan sosial dan ingkar dengan arahan PKP yang dilaksanakan bagi membendung penularan Covid-19.

Meskipun ada segelintir netizen yang cuba mempertahankan orang ramai yang beratur itu, Nik Farhan berkata mereka sepatutnya memikirkan mengenai barisan petugas frontliners yang berkorban untuk memastikan Covid-19 berjaya dikekang.

Perbuatan itu, kata Nik Farhan umpama bunuh diri.

BBerkaitan

Latest articles