KUALA LUMPUR: Syarikat pastri Shake and Bake Cafe Sdn Bhd dan pengarahnya, Ewe Sarn Yeun, 65 tahun, dihadapkan ke dua Mahkamah Sesyen atas 12 tuduhan menggunakan logo halal palsu pada produk makanan yang dibekalkan ke sebuah kedai serbaneka di Universiti Malaya (UM).
Ewe, yang juga merupakan penduduk tetap (PR) Amerika Syarikat, mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sharliza Warnoh dan Noor Ruzilawati Mohd Nor.
Menurut enam pertuduhan, Ewe didakwa menawarkan untuk membekalkan 366 produk sandwic daripada enam jenis perisa – termasuk Mixed Tuna Sandwic, Mixed Potato Sandwic, Mixed Chicken Sandwic, Egg Mayo Sandwic, Ham & Cheese Sandwic, dan Chili Crabstick Sandwic – menggunakan logo halal Malaysia secara tidak sah.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Shake and Bake Cafe Sdn Bhd, Sunway Damansara, pada 10 Januari lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Perenggan 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya. Untuk kesalahan kedua atau berikutnya, hukuman denda boleh meningkat kepada RM250,000 atau penjara maksimum lima tahun.
Syarikat Shake and Bake Cafe, yang turut diwakili Ewe, juga menghadapi enam pertuduhan sama dengan denda maksimum RM200,000 bagi kesalahan pertama dan RM500,000 untuk kesalahan kedua atau berikutnya, jika sabit kesalahan.
Ewe dan syarikatnya juga menghadapi satu lagi tuduhan menggunakan logo halal Malaysia yang salah pada 366 bungkusan sandwic yang sama, di lokasi dan tarikh yang sama.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 100 Akta Cap Dagangan 2019, yang memperuntukkan denda maksimum RM15,000 (Seksyen 102(1)(i)) atau denda sehingga RM10,000 bagi setiap barang yang menggunakan cap dagangan secara salah (Seksyen 102(1)(ii)), atau penjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya KPDN, Shafiq Mahadi dan Hakiim Izani, mencadangkan jaminan sebanyak RM60,000 bagi setiap pertuduhan. Mereka juga memohon syarat tambahan supaya Ewe menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di Pejabat KPDN, Putrajaya, sebulan sekali sehingga kes selesai.
“Kes ini mendapat perhatian umum susulan video tular di media sosial. Pertuduhan ini bertujuan memberi mesej tegas kepada pembekal lain agar tidak mengulangi kesalahan sama,” kata Shafiq.
Peguam Ewe, Hamdan Hamzah, bagaimanapun memohon jaminan dikurangkan kepada RM120,000 bagi semua pertuduhan, dengan menegaskan bahawa anak guamnya telah memberi kerjasama penuh sepanjang siasatan.
“Ia bukan syarikat Shake and Bake Cafe yang menjadi tumpuan isu tular di media sosial, tetapi pihak lain. Ini harus diambil kira dalam kes ini,” katanya.
Mahkamah menetapkan jumlah jaminan serta syarat tambahan, dan kes akan disebut semula pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian.