KUALA LUMPUR: Pelantikan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi baharu Perikatan Nasional (PN) disifatkannya sebagai satu amanah yang bukan sahaja besar, malah penuh cabaran.
Naib Presiden Pas yang juga Menteri Besar Terengganu itu mengakui tanggungjawab berkenaan hadir dalam suasana harapan rakyat yang tinggi terhadap PN untuk muncul sebagai muafakat politik yang mampu mencorakkan perubahan lebih baik buat seluruh rakyat Malaysia.
“Tanggungjawab baharu kepada saya ini amatlah besar, berat dan mencabar terutamanya dalam suasana pengharapan yang tinggi diberikan oleh pelbagai pihak dan rakyat kepada PN, untuk menjadi muafakat politik yang mampu membawa perubahan yang lebih baik kepada seluruh rakyat Malaysia pelbagai agama, bangsa, etnik dan latar belakang sosio ekonomi,” katanya dalam kenyataan.
Pelantikan beliau hari ini menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang mengundurkan diri daripada jawatan tersebut, sekali gus membuka lembaran baharu dalam kepimpinan gabungan itu.
Menurut Samsuri, antara langkah terawal yang akan diberi keutamaan ialah mengadakan perbincangan bersama kepimpinan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PN bagi menentukan pelantikan jawatan-jawatan penting selaras dengan peruntukan dalam Perlembagaan parti.
Beliau menegaskan, fokus utama ketika ini adalah memperkukuh muafakat politik, menambah baik struktur organisasi serta memperkemaskan gerak kerja supaya PN dapat tampil sebagai “nukleus harapan rakyat”.
Dalam masa sama, Samsuri turut merakamkan penghargaan kepada Muhyiddin atas jasa dan kepimpinan sejak awal penubuhan PN sehingga gabungan itu berjaya mencatat pencapaian besar pada Pilihan Raya Umum ke-15 lalu.










