Sambil Berkongsi Gambar, Annuar Kata Calon PM, TPM UMNO Diketahui Jun Ini

Ahli-ahli UMNO akan memilih calon Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri menerusi pemilihan parti dan akan diputuskan pada Jun depan, demikian menurut Tan Sri Annuar Musa.

“Ramai yang tak putus-putus bertanya siapa calon PM dan TPM dari UMNO untuk PRU akan datang.

“Saya lihat ini secara positif. Ertinya ramai yang masih melihat UMNO antara parti yang perlu menampilkan calon pemimpin utama negara.

“Suka saya nyatakan UMNO ada caranya sendiri. Usah terlalu khuatir,” katanya dalam hantaran di laman Facebook hari ini.

Malah Ahli Parlimen Ketereh itu turut menambah bahawa UMNO mempunyai tradisi dan perlembangaan sendiri yang menetapkan tempoh memegang jawatan dihadkan kepada tiga tahun sahaja.

Untuk rekod pemilihan yang berlangsung pada 30 Jun 2018 yang lalu akan tamat tempoh pada Jun tahun ini.

Ujar Annuar lagu, UMNO yang dikenali sebagai parti yang kuat berpegang kepada peraturan, dan amat bergantung pada suara akar umbi, maka ia tidak teragak-agak untuk menyerahkan semula kepada akar umbi menentukan kepimpinan.

“Insyaallah, calon PM dan TPM dari UMNO akan diputuskan sekitar Jun ini menerusi pemilihan oleh ahli  UMNO sendiri.

“UMNO akan memilih seorang Presiden dan seorang Timbalan Presiden yang mempunyai segala sifat dan kelayakan yang sesuai memikul tugas sebagai Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri apabila tiba masanya.

“Allah SWT menentukan segalanya,” katanya dalam hantaran yang sama, yang turut berkongsi gambar-gambar beliau bersama Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Datuk Seri Shahidan Kassim.

Terdahulu, bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada kelmarin menggesa supaya pemilihan parti diadakan segera supaya parti dapat diperkukuhkan untuk bertanding dalam pilihan raya umum kelak.

BBerkaitan

Latest articles