Saman Fitnah RM10 Juta: Pengurusan Kes Farhash Lawan Wan Fayhsal Ditunda ke 24 Sept

KUALA LUMPUR: Pengurusan kes saman fitnah berjumlah RM10 juta yang difailkan Datuk Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak terhadap Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, akan didengar semula pada 24 September depan.

Perkara itu disahkan peguam Wan Fayhsal, Chetan Jethwani, yang menjelaskan tarikh baharu berkenaan ditetapkan selepas sesi pengurusan kes hari ini tidak dapat diteruskan.

Katanya, mahkamah tidak menyatakan sebab penangguhan tersebut.

Saman itu difailkan Farhash, bekas setiausaha politik kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, berhubung kenyataan yang dikatakan dibuat Wan Fayhsal di perkarangan Parlimen pada 14 November tahun lalu.

Dalam tuntutannya, Farhash mendakwa kenyataan itu memberi persepsi seolah-olah beliau cuba menyogok atau mengugut ahli Parlimen bagi menyokong Anwar serta kerajaan sedia ada.

Beliau menegaskan tuduhan itu menjejaskan imej peribadinya selain mencalar reputasi profesionalnya sebagai pengerusi dan pengarah dalam beberapa syarikat tersenarai awam.

Farhash, yang kini tidak lagi aktif dalam politik, masih memegang jawatan pengarah di 7-Eleven Malaysia Holdings Bhd dan Apex Equity Holdings Bhd.

Melalui saman tersebut, beliau menuntut ganti rugi khas, am dan teladan bernilai RM10 juta, selain jumlah tambahan yang tidak ditentukan.

Farhash turut memohon injunksi untuk menghalang Wan Fayhsal daripada mengulangi kenyataan itu serta arahan supaya semua hantaran berkaitan di media sosial defendan dipadamkan.

BBerkaitan

Latest articles