KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menetapkan 25 Februari ini untuk mendengar permohonan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membatalkan saman pemula yang difailkan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy.
Tarikh berkenaan ditetapkan Hakim Alice Loke Yee Ching selepas peguam Anwar memaklumkan peguam utama tidak dapat hadir atas faktor kesihatan.
Pada prosiding pengurusan kes hari ini, Waytha Moorthy diwakili peguam S Karthigesan manakala Anwar diwakili barisan peguam termasuk Peguam Persekutuan yang bertindak sebagai sahabat mahkamah.
Waytha turut memohon untuk bertindak sebagai peguam bersama dan berhujah dalam isu tertentu berkaitan saman tersebut, yang mencabar kesahihan pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri serta Ahli Parlimen Tambun.
Anwar sebelum ini menegaskan saman itu tidak berasas, melanggar prosedur perlembagaan dan merupakan penyalahgunaan proses mahkamah.
Jabatan Peguam Negara pula menegaskan tiada isu kelayakan Anwar berikutan pengampunan penuh diraja, selain menegaskan sebarang cabaran pilihan raya perlu dibuat melalui petisyen sebagaimana diperuntukkan undang-undang.










