Saman: Ahmad Zahid Tegaskan Pihaknya Sudah Ambil Tindakan Perundangan

BATU PAHAT: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sekali lagi menegaskan beliau  telah menghantar surat saman kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Beliau meminta semua pihak menyemak perkara tersebut dengan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan Pengerusi Pejuang berkenaan jika benar beliau berbohong.

“Saya telah mengarahkan peguam saya untuk hantar letter of demand (LOD) atau surat saman kepada Muhyiddin dan Dr. Mahathir.

“Dua surat saman itu dihantar minggu lepas dan jika individu itu katakan bahawa saya tidak menghantar, maka peguam saya telah menghantar surat itu dari firma guamannya.

“Saya minta orang itu tanya sendiri kepada dua pemimpin itu sama ada saya bohong atau sudah terima LOD,” katanya ketika ditemui selepas program Perjumpaan Presiden UMNO bersama calon dan pengundi BN DUN Parit Raja, hari ini.

Ahmad Zahid sebelum itu diajukan mengenai satu mesej tular di media sosial, dimana seorang individu mendakwa Ahmad Zahid berbohong dan kononnya boleh menjadi saksi bagi pihak Dr. Mahathir sekiranya kes itu dibawa ke mahkamah.

Sebelum ini, Ahmad Zahid dilaporkan menuntut permohonan maaf Dr Mahathir di atas kenyataannya yang mendakwa beliau pernah meminta supaya siasatan kes rasuah dihadapinya dihentikan.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk telah mengarahkan pasukan peguamnya untuk mengeluarkan surat tuntutan (LOD) maaf itu.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid menafikan dakwaan bahawa pernah mengeluarkan hantaran di media sosial untuk melakukan sumpah laknat di Masjid Pagoh.

Sehubungan itu beliau meminta individu yang menuduhnya menyatakan perkara sebenar serta tidak menggunakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai medan memburukkan mana-mana pihak.

“Taktik lama (burukkan individu) telah ditolak oleh rakyat, jangan guna kaedah lama untuk tundukkan pihak musuh,” tambahnya.

BBerkaitan

Latest articles