Salleh Tempelak ‘Hero Tiba-Tiba’ MA63- Isu Hak Sabah Bukan Modal Kempen

KOTA BELUD: Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi DUN Usukan, Datuk Seri Salleh Said Keruak, membidas kemunculan mendadak ramai pemimpin politik yang didakwanya sekadar ‘menunggang’ isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) setiap kali musim pilihan raya.

Menurut beliau, perjuangan berkaitan hak Sabah tidak sepatutnya dijadikan bahan retorik saat akhir menjelang PRN Sabah ke-17, sebaliknya perlu dilakukan secara konsisten dan telus demi kepentingan negeri.

“Setiap kali pilihan raya, tiba-tiba semua mahu jadi hero MA63. Sedangkan yang benar-benar memperjuangkannya adalah rakyat Sabah sendiri. Saya pernah bangkitkan isu ini dalam DUN dan saya kata ia tidak harus dipolitikkan,” katanya memetik MalaysiaGazette.

Salleh menegaskan penyelesaian isu MA63, termasuk tuntutan 40 peratus hasil Sabah, memerlukan sebuah jawatankuasa bersama merangkumi semua parti politik, bukannya diwarnai persaingan siapa paling lantang bersuara.

“Jangan ingat hanya satu pihak saja yang perjuangkan hak 40 peratus itu. Semua parti membawa agenda sama, tiada beza,” ujarnya.

Bekas Ketua Menteri Sabah itu turut menyindir dakwaan bahawa hanya parti tempatan layak memperjuangkan hak negeri.

“Saya orang Sabah, IC saya H… sama seperti mereka yang kata hanya parti tempatan yang layak. UMNO, Warisan, UPKO semuanya berdaftar di bawah RoS. Bezanya hanya di mana mereka bergerak,” katanya.

Beliau berkata rakyat tidak patut terlalu taksub kepada parti tertentu kerana rekod prestasi jauh lebih penting berbanding retorik.

“Siapa kata bila sokong parti tempatan semua masalah selesai? Mereka sesama sendiri pun tak ada muafakat. BN ada rekod, ada universiti, ada jalan. Dulu tiada masalah lampu kejap ada kejap tiada,” tegasnya.

Salleh berkata rakyat kini mampu menilai tahap kesungguhan parti politik dalam mengangkat tuntutan MA63.

“BN tidak bagi harapan kosong. Jika boleh, kami kata boleh. Jika tak boleh, kami jelaskan. Persoalannya: sejauh mana keikhlasan parti lain untuk laksanakan MA63 apabila diberi kuasa?” katanya.

Dengan nada sinis, beliau menambah bahawa perjuangan hak Sabah memerlukan pemimpin berpengalaman dan mempunyai hubungan konstruktif dengan Kerajaan Persekutuan, bukan sekadar lantang di media sosial.

“Nilailah berdasarkan rekod pentadbiran masing-masing, bukan janji indah yang hanya muncul semasa kempen. Rakyat mahu melihat hak Sabah dipulangkan dalam bentuk peruntukan, projek dan autonomi, bukan slogan,” katanya.

Salleh turut membidas beberapa pemimpin kerajaan dan pembangkang yang kini giat menggunakan isu MA63 sebagai alat kempen menjelang hari mengundi pada 29 November.

BBerkaitan

Latest articles