KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah menegaskan beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menggunakan gambar dan namanya bagi tujuan mempromosikan produk tanpa kebenarannya.
Hisham, dalam masa yang sama menasihatkan orang ramai, terutama pengguna media sosial berhati-hati dengan kenyataan dan dakwaan palsu menggunakan nama dan gambarnya.
“Saya akan mengambil tindakan undang-undang dan berharap ini menjadi pengajaran kepada semua. Sila berhati-hati dan jangan percaya dakwaan tidak bertanggungjawab oleh penipu yang terdesak,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Hisham turut berkongsi tangkap layar satu hantaran berbayar di Instagram yang menggambarkan beliau ‘terkenal kerana merawat pesakit tanpa menggunakan ubat-ubatan’.
Untuk rekod, nama dan gambar Hisham pernah digunakan sebelum ini bagi tujuan mempromosikan produk.
Pada November 2023, Hisham mendakwa sebuah syarikat penjual herba tradisional Cina melakukan ‘pemasaran tidak bertanggungjawab’ selepas menggunakan gambar dan namanya untuk mempromosikan perniagaan mereka.
Dalam satu gambar dimuat naik di X, Hisham menunjukkan apa yang kelihatan seperti satu keratan akhbar menggunakan gambarnya dalam artikel mengenai ramuan teh herba.
Perkara itu kemudian selesai selepas syarikat tersebut menyatakan Hisham tidak pernah memperakui mana-mana produk mereka dan tidak berniat untuk mengelirukan orang ramai.
Dalam kenyataan bersama, Hisham dan syarikat itu menyatakan bahawa ‘sebarang salah faham telah diselesaikan secara bersama’.