KUALA LUMPUR: Seorang jiran kepada keluarga Zayn Rayyan Abdul Matin memberitahu Mahkamah Sesyen hari ini bahawa dia melihat Ismanira Abdul Manaf
hanya menggalas beg sekolah berwarna biru merah dan tidak membawa apa-apa yang lain.
Situasi itu saksi pendakwaan ke-16, Rashidah Rajali, 37, ketika terserempak dengan wanita itu di tangga Apartmen Idaman, Damansara Damai, pada hari kehilangan kanak-kanak tersebut.
Rashidah berkata dia bertemu dengan Ismanira sekitar jam 12.15 tengah hari pada 5 Disember, ketika turun dari tingkat satu untuk menjemput dua anaknya pulang dari sekolah.
“Saya turun dari tingkat satu dan terserempak dengannya di tingkat bawah. Dia berhenti dan memberi laluan, tunduk, dan tidak bercakap dengan saya,” katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin.
Bagaimanapun, keterangan Rashidah itu berbeza dengan kenyataan seorang pegawai polis yang merakam percakapan Ismanira.
Inspektor Nina Syamimi Syamsuddin, 33, memberitahu mahkamah bahawa dalam keterangannya kepada pihak polis, Ismanira mendakwa dia membawa barang-barang yang baru dibeli di kedua-dua tangannya ketika menaiki tangga untuk pulang ke rumah pada hari kejadian.
“Dia memberitahu bahawa dia menaiki tangga dahulu dan hanya menyedari anaknya hilang apabila menoleh ke belakang,” kata pegawai polis itu.
Rashidah turut memaklumkan bahawa dia sekali lagi terserempak dengan Ismanira pada jam 12.35 tengah hari ketika pulang dari menjemput anak-anaknya. Ketika itu, katanya, wanita berkenaan sudah menukar pakaian.
“Kali pertama saya nampak dia memakai tudung hitam, baju putih dan seluar palazzo hitam. Tetapi ketika terserempak kali kedua, dia sudah bertukar tudung bercorak berwarna sedikit gelap serta membawa beg silang,” katanya.
Saksi juga menyatakan bahawa Ismanira tidak menunjukkan sebarang reaksi ketika pertemuan kedua itu.
“Sampai di rumah, saya menerima panggilan dari suami pada pukul 12.45 tengah hari dan dimaklumkan tentang kehilangan Zayn Rayyan,” tambahnya.
Mahkamah kini sedang mendengar perbicaraan pasangan Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira, yang didakwa mengabaikan anak autisme mereka dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa berlaku di sekitar Jalan PJU 10/1, Damansara Damai, antara pukul 12 tengah hari pada 5 Disember dan 9.55 malam pada 6 Disember 2023.
Perbicaraan di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh akan bersambung esok.