KUALA LUMPUR: Timbalan Pengerusi Surau Apartment Saujana, Faizul Najib Abd Munaim memberitahu Zaim Ikhwan Zahari amat beremosi sehingga mengeluarkan beberapa perkataan ‘kurang enak’ apabila melihat jasad anaknya yang ditemukan di atas timbunan pasir kawasan aliran anak sungai berhampiran Apartment Idaman, Damansara Damai pada 6 Disember 2023.
Saksi pendakwaan keenam perbicaraan kes pengabaian kanak-kanak, Zayn Rayyan Abdul Matiin itu merupakan individu pertama yang menemukan jenazah kanak-kanak autisme itu.
Faizul menambah, dalam keadaan marah, Zaim terus melontarkan persoalan ‘siapa bunuh anak aku ini’.
“Apabila dia (Zaim) sampai, tengok keadaan anaknya, dia terus dengan kuat bertanya ‘siapa bunuh anak aku ini’. Saya tersentap dengar dia cakap begitu namun tidak ambil kisah memandangkan keadaannya yang beremosi ketika itu,” katanya ketika memberikan keterangan saksi di hadapan Hakim Syahliza Warnoh di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini.
Faizul dilihat turut sebak dan teresak-esak ketika menceritakan detik-detik penemuan jenazah kanak-kanak malang itu.
Katanya, jenazah Zayn Rayyan ditemukan sekitar 9.30 malam dalam keadaan mengiring dan kelihatan seperti sedang tidur.
Bagaimanapun, urat badannya sudah mula timbul.
Keterangan itu menyebabkan seluruh bilik mahkamah diselebungi suasana sayu sambil sesekali terdengar esakan daripada orang awam yang mengikuti perbicaraan tersebut.
“Ketika ternampak tubuh arwah, saya angka dia sedang tidur lagi-lagi keadaan jasad itu nampak bersih tanpa apa-apa kotoran. Saya menjerit dengan kuat dengan harapan arwah akan respon pada saya atau paling tidak kelip mata tapi tiada respon.
“Selepas seketika, seorang lelaki yang mengaku datuk kepada arwah datang lalu merangkul jasad kanak-kanak itu sebelum seorang lagi individu lain muncul dan mengaku sebagai bapa kanak-kanak tersebut,” katanya.
Tambah Faizul, selepas selesai berurusan dengan pihak polis, dia pergi ke pondok di mana keluarga arwah Zayn Rayyan sedang menunggu untuk mengucapkan takziah.
Namun sekali lagi, Zaim dengan nada tinggi bertanya kepadanya apakah Zayn Rayyan masih hidup ketika jasad kanak-kanak tersebut ditemukan.
Menurut Faizul, dia sangat terkejut dan menafikan persoalan Zaim.
Manakala ibu Zayn Rayyan, Ismanira Abdul Manaf yang turut berada di pondok berkenaan, cuba menenangkan suaminya.
Sekali lagi, Zaim bertanya soalan sama namun Faizul mendakwa tidak mempedulikan sebaliknya hanya bersalam dan berlalu dari lokasi itu.
Prosiding sedang bersambung ketika ini.