KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen Petaling Jaya diberitahu terdapat kesan darah di bilik dan dalam bilik air rumah Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, semasa pasukan forensik melakukan proses luminol (mendapatkan tindak balas kesan darah) di rumah kanak-kanak autistik itu di Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai, dua tahun lepas.
ASP Mohd Hafizee Ismail, 38, yang sebelum ini bertugas sebagai pegawai penyiasat kanan jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya berkata pada 9.30 malam 9 Dis 2023, beliau bersama pasukan forensik pergi ke lokasi kejadian dan melakukan proses itu di rumah si mati, dan beberapa rumah dipercayai terlibat dalam kes tersebut.
Disoal Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin apa dimaksudkan dengan proses luminol, Mohd Hafizee berkata proses luminol bertujuan mendapatkan tindak balas kesan darah yang berada di sesuatu tempat kejadian.
Beliau berkata demikian ketika memberi keterangan pada perbicaraan hari ke-17 kes pengabaian dihadapi ibu bapa Zayn Rayyan, iaitu Ismanira Abdul Manaf dan Zaim Ikhwan Zahari di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.
Bagaimanapun, saksi pendakwaan ke-28 itu tidak menjelaskan kepada mahkamah pemilik darah yang dikesan di bilik berkenaan.
Mohd Hafizee berkata hasil siasatannya mendapati terdapat kesan darah di bilik di rumah si mati, selain ada kesan darah atau asid deoksiribonukleik (DNA) di dalam bilik air berkenaan.
“Saya ada merakam percakapan Ismanira dan hasil keterangan daripada tertuduh menyatakan si mati pernah berdarah di bahagian hidung dan kebiasaannya si mati akan mencalit kesan hingus atau hidung yang berdarah di kawasan dinding di dalam bilik atau di dalam rumah.
“Selain itu, Ismanira juga menyatakan si mati pernah berdarah disebabkan terkena pisau cukur di dalam bilik air, namun DNA atau darah ditemui dalam bilik air tersebut adalah milik Zaim Ikhwan sebagaimana dalam laporan kimia,” katanya yang kini bertugas sebagai Pegawai Risikan Operasi di Bahagian Siasatan Jenayah IPD Klang Selatan.
Ismanira dan Zaim Ikhwan, yang berumur 30 tahun, didakwa mengabaikan Zayn Rayyan dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal terhadap mangsa di sekitar kawasan Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai sehingga kawasan sungai berdekatan antara 12 tengah hari 5 Dis hingga 9.55 malam 6 Dis 2023.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 6 Dis 2023, mayat Zayn Rayyan ditemukan di aliran anak sungai berhampiran rumahnya selepas dilaporkan hilang sehari sebelum itu.
Perbicaraan bersambung hari ini jam 2 petang .— BERNAMA