KUALA LUMPUR: FGV Holding Bhd (FGV) melalui jenama Saji mempersembahkan filem pendek hari raya bertajuk ‘Nas Si Goreng’ yang mengangkat nilai kasih sayang dan tradisi seiring dengan kempen ‘SAJI Rayakan Rasa’.
Pegawai Bertanggungjawab untuk Bahagian Produk Pengguna merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Delima Oil Products Sdn Bhd, Shammim Azad Kamruzaman berkata, filem itu turut mengangkat mesej penyembuhan rasa setelah kehilangan orang tersayang.
“Tahun lepas kita mengeluarkan genre yang mencuit hati tahun ni lain sedikit kita menyentuh kepada perasaan. Semua orang akan mengalami pada satu masa kehilangan orang yang tercinta.
“Jadi mesej yang kita cuba sampaikan bahawa setiap manusia itu ada perasaan bila kehilangan seseorang yang paling rapat dengan dia. Jadi filem ini lebih menyentuh kepada perasaan kehilangan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis berbuka puasa bersama anak-anak Yatim dah pelancaran filem pendek raya 2025 di sini, pada Jumaat.
Filem pendek berdurasi sembilan minit itu menampilkan barisan pelakon popular Fadhli Masoot, Nabila Huda dan Liza Abdullah.
Pada majlis itu, Saji turut meraikan 20 orang anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan dan Perlindungan Al Haq Malaysia serta menyerahkan sumbangan Aidilfitri bernilai RM300 dan hamper produk SAJI dan Seri Pelangi bernilai RM50 setiap seorang.
Shammim berkata sumbangan itu bertujuan untuk membawa kegembiraan dan menceriakan sambutan Aidilfitri bagi golongan yang memerlukan.
“Usaha berkongsi rezeki dari pihak SAJI ini adalah sebahagian dari ‘Program SAJI Seikhlas Hati’ yang bukan sekadar usaha bermusim, tetapi satu inisiatif berterusan yang mencerminkan komitmen SAJI dalam menyumbang kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata sejak 2023, program ini telah memberi manfaat kepada hampir 3,000 golongan asnaf di seluruh negara.
Tambah Shammim, inisiatif CSR itu akan diteruskan selepas sambutan Aidilfitri melalui program bantuan kepada 200 asnaf yang akan diadakan di Kuantan pada 9 April depan.
“Menjelang Aidilfitri ini, Saji akan membantu 200 golongan asnaf di Kuantan, Pahang dan menyumbangkan kos pemulihan sebanyak RM10,000 bagi membaik pulih rumah seorang mangsa ribut,” tambahnya.