KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersedia untuk mengecilkan saiz Kabinetnya jika Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Sabtu ini.
Bahkan beliau juga mahu keanggotaan kabinet diisi dengan tenaga teknokrat yang berbagai kepakaran.
“Ya…ramai yang bercakap soal Kabinet terlalu besar. Saya akui memang terlalu besar dan pasti saya akan mengecilkannya.
“Dari sudut kepelbagaian kepakaran, akan saya jadikannya sebagai panduan untuk membentuk Kabinet nanti. Bukan sahaja terdiri daripada ahli politik tetapi dari segi teknokrat akan turut dimasukkan,” katanya dalam program Ruang Bicara Khas Kestabilan & Kemakmuran Bersama Perdana Menteri yang disiarkan di beberapa stesen televisyen utama, malam ini.
Dalam pada itu, Ismail Sabri menjelaskan, jika beliau meneruskan kepimpinannya selepas PRU15 ini, maka apa sahaja yang ll akan dilakukan selepas ini mestilah sejajar dengan manifesto Barisan Nasional (BN) dan ini termasuk Jemaah Menteri yang dilantik juga perlu kuat dan merangkumi kepelbagaian bagi menstabilkan politik dan tumpuan membangunkan ekonomi.
Katanya, manifesto BN dengan slogan Kestabilan dan Kemakmuran bakal diteruskan dan kejayaan ekonomi akan menjadi teras, walaupun negara dijangka berdepan cabaran ketidaktentuan ekonomi yang tinggi pada tahun hadapan.
“Yang pasti, kejayaan ekonomi diteruskan. Itulah core (teras) dia. Untuk negara kita, yang penting adalah kestabilan dan kemakmuran dari segi ekonomi.
“Walaupun kita tahu tahun depan, ketidaktentuan ekonomi agak tinggi dan ia adalah cabaran besar kepada kita,” katanya.
Isu kedua yang akan diberi penumpuannya ialah isu kos sara hidup yang menjadi isu besar dan menjadi perbualan rakyat hari ini.
“Walaupun kita mengadakan Jawatankuasa Jihad Perangi Inflasi dan sebagainya, kita akan menambah baik setiap kelemahan kerana yang paling penting bagi rakyat adalah isu harga barang yang perlu diberi perhatian,” katanya.
Kerajaan juga, katanya, perlu terus memberi tumpuan terhadap isu yang dihadapi golongan muda, terutama dari segi peluang mendapatkan pekerjaan.
“Menerusi Program Jamin Kerja kita berjaya dan sasaran kita adalah 600,000 peluang pekerjaan untuk tahun ini serta program mengurangkan pengangguran akan diteruskan walaupun kita sudah mencapai 3.6 peratus,” katanya.
Beliau turut menegaskan, semua agensi dan jabatan kerajaan akan diperkasakan selepas banyak rungutan mengenai kerenah birokrasi yang melampau dalam jabatan kerajaan.
“Kadang-kala ini menghindarkan kemasukan pelabur asing ke negara kita. Jika dibandingkan dengan negara lain, setiap kelulusan itu terpaksa menunggu lama (di negara kita). Kerenah birokrasi ini perlu diberikan fokus.
“Dasar luar kita juga mesti diubah kerana suatu ketika dahulu kehadiran Malaysia di luar negara dengan dasar luarnya amat dirasai tetapi mungkin akhir-akhir ini ia agak kurang, mungkin disebabkan masalah COVID-19. Kita perlu dilihat lebih terbabit dan kehadiran kita dalam memperjuangkan isu besar (perlu) yang dirasai oleh dunia,” katanya.
Beliau turut menyentuh mengenai tumpuan membangunkan Sabah dan Sarawak apabila peruntukan Bajet 2023 banyak memberikan kelebihan kepada kedua-dua negeri itu.
Katanya, selain menyiapkan projek besar seperti Lebuh Raya Pan Borneo, kerajaan juga akan memberikan keutamaan kepada penyediaan kemudahan di luar bandar termasuk jalan-jalan kampung.
“Sekolah-sekolah daif adalah isu sangat dekat di hati rakyat di dua negeri itu dan klinik-klinik desa yang kedudukannya amat daif sekali.
“Saya sendiri melihat apabila ditunjukkan video mengenai klinik desa, begitu menyedihkan dan perkara ini diberikan fokus,” katanya.