Satu kajian saintifik telah dijalankan oleh Universiti Oxford untuk mengenalpasti keberkesanan satu vaksin yang dicipta untuk melawan virus Covid-19.
Seramai 10,000 individu dilibatkan dalam kajian berkenaan, termasuk pekerja kesihatan di United Kingdom, Brazil dan Afrika Selatan.
Pasukan yang terlibat dalam kajian vaksin berkenaan dipetik sebagai berkata penemuan vaksin itu sebagai ‘selangkah lagi untuk menamatkan jutaan kematian’ akibat Covid-19.
Percubaan pertama vaksin ini diberikan kepada 543 dewasa berusia 18-55 tahun yang mempunyai tahap kesihatan yang baik dan diberikan satu dos ChAdOx1 nCoV-19. Manakala seramai 534 orang lagi diberikan dos vaksin dengan kawalan namun memberi tindak balas yang serupa, termasuk kesan merah dan rasa sakit di tempat suntikan.
Kesan terhadap vaksin terhadap dua kumpulan sukarelawan ini diperhatikan selama tempoh 12 bulan , sama ada mereka akan menghasilkan Covid-19 atau sebaliknya.
Dalam tempoh 28 hari percubaan mendapati tindak balas antibodi terhadap vaksin, dan ia menyamai kesan mereka yang sembuh dari jangkitan Covid-19 itu sendiri.
Suntikan vaksin ‘booster’ juga diberikan kepada 10 sukarelawan dalam kajian ini dan menunjukkan peningkatan tindak balas antibodi ke tahap yang lebih tinggi, malah sampel darah yang diperolehi membuktikan aktiviti peneutralan jangkitan virus ini di persekitaran makmal.
Lebih menarik vaksin ini mendorong sel T untuk kenal secara khusus SARS-CoV-2 yang menyebabkan Covid-19.
Malah tindak balas antibodi dan sel T juga selari dan tepat sekaligus memberikan perlindungan terhadap virus.
Paling penting untuk dilihat menerusi kajian ini adalag bagaimana badan seseorang itu selamat menerima vaksin berkenaan tanpa mendatangkan kesan buruk dan sampingan.
“Kami yakin vaksin ini berupaya diuji kepada manusia selepas percubaan kepada tikus dan monyet menunjukkan ia selamat dan tidak ada kesan sampingan.
“Monyet yang divaksin dilindungi daripada beberapa penyakit berbahaya selepas mereka didedahkan dengan dos SARS-CoV-2 yang tinggi berbanding yang diperolehi manusia secara semulajadi,” demikian menurut kenyataan pasukan kajian itu.
Bagaimana Vaksin Ini Berfungsi?
Sistem ketahanan badan dilatih untuk mengenali dan memerangi agen berjangkit (patogen) seperti bakteria dan virus, dengan ia menyediakan sistem ketahanan badan dengan bahagian patogen yang modah dikenali, diingati sehingga dapat bertindak balas dengan segera, walaupun patogen yang sama menyerang pada masa akan datang.
Seperti mana vaksin yang cuba dihasilkan sebelum ini, ia cuba memberi tumpuan kepada bagaimana sebatian protein boleh menyelaputi permukaan virus, supaya ia memasuki badan seseorang manusia secara mengikat molekul di permukaannya yang dikenali sebagai ACE2.
Untuk menghasilkan vaksin ini, zarah virus yang berbeza dan tidak berbahaya (disebut ChAdOx1) dimuatkan dengan bahagian DNA SARS-CoV-2 yang mengarahkan sel bagaimana membina protein.
Apabila zarah-zarah ChAdOx1 ini menjangkiti sel-sel manusia, DNA coronavirus kemudian “dinyatakan”, membangunkan protein agar sistem imun dapat bertindak balas.
Sebenarnya vektor virus ChAdOx1 juga digunakan untuk menghasilkan beberapa vaksin yang digunakan secara teknikal untuk merawat Cov-Mers iaitu sindrom pernafasan Timur Tengah.
Pada masa genting sebegini, apa yang penting bagi semua pihak adalah menunjukkan bahawa vaksin ini berkesan dan ia mampu membantu mengurangkan kes jangkitan Covid-19.
Jika ia terbukti berkesan maka ia perlu dihasilkan dengan pesat untuk bekalan dunia.
Untuk tujuan ini, AstraZeneca telah memulakan program pembuatan vaksin berskala besar, memberikan ratusan juta dos dengan penghantaran bermula pada akhir tahun 2020.
Perjanjian telah dibuat untuk menyediakan vaksin tersebut ke negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana. dan juga ke UK, Eropah dan AS.