Saifuddin Terima Permohonan Maaf Zuraida, Jadikan Iktibar Buat Ahli Politik, Usah Khianat

KUALA LUMPUR: Fitnah yang dilemparkan Datuk Zuraida Kamaruddin jelas menunjukkan tujuannya hendak merosakkan reputasi sebagai pemimpin politik, demikian tegas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Sehubungan itu, menurut Saifuddin Nasution, permohonan maaf terbuka bekas Ahli Parlimen Ampang, selain bertindak menarik balik kata-kata fitnah terhadapnya perlu dijadikan pengajaran kepada semua ahli politik di negara ini.

“Dan ini akan menjadi pengajaran kepada semua ahli politik,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Kes saman fitnah oleh Saifuddin Nasution terhadap Zuraida selesai apabila bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu membuat permohonan maaf secara terbuka di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, pagi tadi..

Zuraida, 65, ketika membacakan pernyataan maaf itu di hadapan Hakim Norakhmar Mohd. Sani berkata, beliau telah menyatakan beberapa kenyataan terhadap Saifuddin Nasution, yang merupakan Ketua Setiausaha Pakatan Harapan, dalam suatu ucapan pada sebuah majlis makan malam di Hotel Renaissance di sini pada 8 Disember 2019.

“Atas saman fitnah yang difailkan oleh Datuk Seri Saifuddin Nasution terhadap saya berkaitan dengan ucapan tersebut, kedua-dua pihak telah bersetuju untuk menyelesaikan perkara ini dengan suatu kenyataan maaf secara terbuka di hadapan mahkamah ini.

“Oleh yang demikian, saya dengan ini menarik balik kenyataan-kenyataan tersebut terhadap Datuk Seri Saifuddin Nasution dan juga memohon maaf kepada beliau,” kata Zuraida.

Mahkamah kemudian merekodkan penyelesaian yang dicapai oleh kedua-dua pihak serta melapangkan tarikh perbicaraan yang ditetapkan selama tiga hari bermula hari ini.

Sementara itu, menerusi hantaran di media sosialnya, Saifuddin Nasution juga berharap kes hari ini menjadi pengajaran kepada sesiapa yang terdetik untuk melakukan perbuatan khianat.

“Alhamdulillah, hari ini Zuraida telah kemuka permohonan maaf kepada saya dan menarik balik kata-kata fitnah yang diucapkan.

“Pengajarannya, usah khianat perjuangan, tiada yang hidup tenang dengan mengkhianati perjuangan. Kebenaran pasti menang jua akhirnya. Moga ini jadi pengajaran kepada sesiapa yang terdetik untuk khianat.

“Yang ikut sama khianat waktu itu, ramai juga nak u-turn. Jawapan saya begini sahaja, tidak mudah. Perjuangan ini mahal nilainya. Reformasi !” tulisnya.

Untuk rekod, saman fitnah itu berhubung satu ucapan Zuraida di dalam sebuah majlis makan malam di Hotel Renaissance, 8 Disember 2019.

Saifuddin Nasution memfailkan saman itu pada 21 Julai 2020 mendakwa majlis makan malam itu bertema “Wawasan Kemakmuran Bersama 2030” itu berlangsung seiring dengan hari terakhir Kongres Kebangsaan PKR kali ke-14 di Melaka.

Menteri Dalam Negeri itu mendakwa Zuraida membuat kenyataan fitnah yang membawa maksud antaranya beliau (Saifuddin Nasution) mengamalkan penipuan dan rasuah kerana beliau menerima suapan berjuta-juta ringgit untuk menyertai Pas atau PKR atau untuk memegang jawatan di sektor awam.

Dakwanya, bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berniat jahat untuk memburukkan kewibawaan serta imej plaintif sebagai seorang ahli politik, kakitangan awam di kaca mata masyarakat umum, anggota PKR dan penyokong PH.

BBerkaitan

Latest articles