Saifuddin Positif Untuk Kaji Peruntukan Sosma

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju untuk mengkaji dan mengadakan perbincangan mengenai peruntukan dalam Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau Sosma.

Perkara itu diumumkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Ramkarpal Singh selepas mengadakan mesyuarat bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengenai “beberapa isu perundangan” berkaitan kementerian itu.

Katanya, antara isu dibincangkan adalah mengkaji Sosma dengan lebih lanjut bagi menangani aspek yang menerima kritikan seperti peruntukan menghadkan pemberian jaminan bagi individu yang ditahan.

“Saya dengan gembira mengumumkan Saifuddin bersetuju dengan cadangan saya untuk memulakan kajian dengan semua pihak berkepentingan untuk tujuan ini.

“Kementerian saya dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menganjurkan sesi ini dalam masa terdekat dan saya akan menjemput semua pihak berkepentingan, termasuk pegawai-pegawai daripada KDN dan Polis Diraja Malaysia,” katanya.

Saifuddin sebelum ini memberi petunjuk akta itu tidak akan disemak semula dan menyatakan individu ditahan boleh mengambil khidmat peguam sekiranya dihadapkan ke mahkamah.

Susulan itu, Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo meminta Saifuddin mempertimbangkan keputusan tersebut kerana ia bertentangan pendirian Pakatan Harapan (PH) selama ini yang mengakui Sosma bersifat menindas.

Bagaimanapun, Saifuddin tetap mempertahankan pendiriannya dengan menegaskan peruntukan itu akan membolehkan pihak berkuasa membanteras kegiatan jenayah terancang, terutama membabitkan tangkapan ahli sindiket terbabit dalam jumlah yang ramai.

Namun katanya, undang-undang adalah bersifat dinamik serta tidak statik dan Sosma masih boleh disemak semula dan dipinda dari semasa ke semasa.

Seksyen 4(5) Sosma membenarkan polis menahan seseorang yang disyaki terlibat dalam kegiatan keganasan untuk tempoh tidak melebihi 28 hari bagi siasatan, tanpa perintah mahkamah.

BBerkaitan

Latest articles