KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) hanya berlaku selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Beliau seterusnya mengakui kenyataan berkenaan kerjasama dua gabungan politik dimulakan sejak sebelum PRU15, sebagaimana yang dinyatakan dua hari lalu adalah tidak tepat.
Saifuddin mengakui berlaku sedikit kesilapan ketika membuat hantaran mengenai rundingan kerjasama itu sehingga mengelirukan pembaca dan penyokong PH
“Namun sebenarnya, hubungan peribadi saya dengan watak-watak politik bukan dari gabungan PH itu sudah lama berjalan..dia punya kekeliruan berlaku di situ.
“Jadi perbincangan tentang penubuhan kerajaan baharu itu adalah selepas PRU15. Tetapi dari segi hubungan peribadi yang membantu memudahkan rundingan PH dan BN ia tak bermula 19 November lalu selepas mengetahui keputusan jam 10 malam dan waktu itu nak cari gabungan.. itu tidak begitu.
“Kedudukan saya waktu itu ada kelebihan kerana saya punya hubungan cukup akrab dan sudah lama terjalin dengan blok bukan PH yang kebetulan itu merupakan kepimpinan utama parti.
“Jadi, saya letak beberapa nama dalam hantaran di Facebook tetapi setengah media menganggap dan memilih bahawa kononnya perundingan itu berlaku sebelum PRU dan di sini saya kena baiki balik susunan ayat saya itu nanti dalam satu posting kelak untuk memudahkan mesej tepat sampai kepada pengikut dan pembaca FB agar mudah difahami jelas,” katanya dalam sidang media, hari ini.
Menteri Dalam Negeri itu juga merakamkan penghargaan kepada media kerana bertanya dan membantunya memberikan perspektif lebih tepat mengenai kenyataannya itu.
Menurut Saifuddin lagi, kerjasama perbincangan adalah berlaku selepas keputusan PRU15 selepas menyaksikan tidak ada blok parti yang boleh membentuk kerajaan sendiri.
“Jadi, apa kami buat, beberapa kaedah dipertimbangkan antaranya apakah PH nak kekal jadi pembangkang untuk lima tahun akan datang dan membiarkan pihak lain yang mengumpul majoriti membentuk kerajaan Pusat atau kita leverage atau menggunakan kelebihan angka 82 yang dimiliki untuk mendekati dengan komponan lain,” ujarnya.
Terdahulu, beliau tiba ke kementerian pukul 9.25 pagi untuk mengimbas wajah dan kad perakam waktu sebagai simbolik memulakan tugasnya sebagai Menteri KDN.
Kemudian beliau telah menghadiri taklimat lebih dua jam bersama Ketua Setiausaha LDN, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Wan Abdul Aziz.