KUALA LUMPUR: UMNO mengesahkan pemecatan bekas Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa dan dua lagi pemimpin wanita bahagian dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) malam tadi.
Perkara itu disampaikan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dengan berkata, keputusan tersebut diambil mengikut Fasal 10.6 Perlembagaan, yang memberi hak kepada parti untuk melucutkan keahlian mana-mana ahlinya, termasuk jika seseorang ahli terbukti melanggar Fasal 20.9 Perlembagaan parti serta perkara mengenai tata etika ahli.
Annuar, Ketua UMNO Bahagian Ketereh menganggotai UMNO sejak tahun 1979.
Beliau digugurkan daripada senarai calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 yang lalu.
“Dua lagi ahli UMNO dilucutkan keahlian adalah Ketua Wanita UMNO Bahagian Arau Shamsiah Yasin, yang juga isteri bekas ketua UMNO bahagian itu, Shahidan Kassim serta Ketua Wanita UMNO Bahagian Maran Fatimah Kassim, yang juga isteri penyandang kerusi Parlimen Maran, Ismail Abd Muttalib.
“Pemecatan mereka berkuat kuasa serta-merta dengan surat rasmi perlucutan keahlian akan dihantar hari ini,” katanya.
Bulan lalu, Shamsiah dan Fatimah dilaporkan digantung sementara seluruh jawatan mereka selepas didapati terbabit secara langsung atau tidak langsung menyokong calon parti lawan pada PRU15.