Sah, Husam Bukan Lagi Naib Presiden Amanah, Mahu Tumpu Jentera Kota Bharu

Amanah hari ini mengesahkan Naib Presidennya, Datuk Husam Musa meletakkan jawatan, hanya selepas beliau menafikan khabar angin itu awal pagi tadi.

Pengarah Komunikasinya, Khalid Samad berkata keputusan terhadap permohonan peletakan jawatan itu diputuskan pada 6 September lalu menerusi mesyuarat bulanan Jawatankuasa Nasional Amanah.

Ujar Khalid, tindakan Husam meletak jawatan itu sebagai usahanya memberi tumpuan kepada usaha untuk menang kerusi di Parlimen Kota Bharu yang diketuainya.

“Memandangkan kebolehan dan kemampuan beliau masih diperlukan di peringkat nasional, Jawatankuasa Nasional Amanah telah mengambil keputusan untuk meminta beliau berperanan memantau dan bertindak sebagai penasihat kepada tiga biro Amanah dalam persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Tiga biro ini adalah Biro Pilihanraya, Biro Komunikasi dan Biro Strategi. Kertas cadangan berhubung peranan baharunya sedang disediakan untuk persetujuannya,” kata Khalid.

Menerusi satu laporan daripada sebuah portal berita, Husam didakwa melepaskan jawatannya sebagai naib presiden.

Malah dikatakan tindakan itu diambilnya setelah berlaku perselisihan faham dengan Presiden Amanah, Mohamad Sabu.

Husam, bagaimanapun menafikan laporan berita berkenaan dengan berkata ia sebagai ‘rekaan’ selain menyifatkan hubungannya dengan Mohamad sebagai ‘tiada masalah’.

Menjelaskan hal itu, Khalid juga menyifatkan dakwaan berkenaan hubungan Husam dan Mohamad sebagai tidak berasas.

Komen

Berkaitan

Media Sosial

19,954FansLike
3,867FollowersFollow
21,200SubscribersSubscribe

Terkini