Sabtu Ini Kemenangan Pasti Milik BN-PH Di Selangor

KUALA LUMPUR: Sasaran dua pertiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dicapai, selain akan menambah lagi bilangan kerusi milik gabungan parti politik Pakatan Harapan – Barisan Nasional di Selangor.

Keyakinan itu disuarakan calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia, Datuk Megat Zulkarnain Omardin yang yakin Kerajaan Perpaduan mampu dibentuk di Selangor selepas Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu ini.

Ujarnya, calon Kerajaan Perpaduan mampu memperoleh angka yang mencukupi iaitu 38 kerusi daripada 56 DUN.

“Saya percaya Kerajaan Perpaduan akan terus memerintah Selangor, kita kini sedang berusaha mengekalkan dua pertiga dan insya-Allah mudah-mudahan menambah jumlah kerusi daripada dulu.

“Bukan mendahului ketentutan Allah tetapi atas kertas menunjukkan adalah mustahil untuk Kerajaan Perpaduan kalah di Selangor, kita ada angka yang cukup untuk menubuhkan kerajaan negeri.

“Sebab itu naratif mereka berbeza, memberikan andaian kononnya kerajaan persekutuan pun boleh ditukar tetapi Kerajaan Selangor adalah stabil,” katanya selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Taman Seri Gombak yang turut dihadiri Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, semalam.

Bukan sahaja Megat Zulkarnain, keyakinan yang sama juga disuarakan Pengerusi PH Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dengan menegaskan gabungan politik itu mampu menang sekurang-kurangnya di 33 daripada 56 kawasan DUN pada PRN ini.

Beliau berkata, 33 kawasan terbabit merupakan kerusi selamat untuk PH dan rakan kerjasamanya BN bagi membolehkan gabungan itu membentuk kerajaan negeri pada penggal akan datang.

Ditanya mengenai sokongan pengundi Cina dan India, Megat Zulkarnain yang juga Pengerusi UMNO Selangor itu yakin lebih 90 peratus sokongan diberikan oleh kedua-dua kaum itu.

Bagaimanapun, beliau tidak boleh terlalu selesa kerana masih berbaki lima hari berkempen untuk melakukan pecutan meraih sokongan daripada masyarakat DUN Gombak Setia .

“Melihat sokongan dari kaum Cina dan India, saya amat teruja melihatkan semangat mereka untuk keluar mengundi dan menyatakan tidak pada politik yang keterlaluan.

“Saya juga percaya sokongan mereka ini lebih 90 peratus akan kita capai pada 12 Ogos ini dan saya juga bersyukur melihat sokongan dan kefahaman pengundi amatlah tinggi.

“Semua masyarakat terutama anak-anak muda turut menyatakan mahu kerajaan yang stabil tapi ini bukanlah satu pengukur untuk saya berasa selesa sebab dalam pilihan raya ini 24 jam terakhir amat memainkan peranan,” ujarnya.

BBerkaitan

Latest articles