Sabah Tawar Harapan Baharu Untuk Anak Muda – ADUN Jeram Padang

SANDAKAN: Manifesto “Orang Muda Pemangkin Perubahan” yang dibentangkan Barisan Nasional (BN) Sabah disifatkan sebagai suntikan harapan baharu kepada generasi muda negeri itu, kata ADUN Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir.

Beliau berkata manifesto tersebut bukan sekadar rangka dasar, tetapi cerminan impian dan keperluan anak muda yang selama ini menunggu peluang lebih adil serta masa depan yang lebih stabil.

Mohd Zaidy turut menyatakan sokongan penuh terhadap penegasan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengenai komitmen BN untuk melaksanakan pembangunan terarah melalui enam tonggak Rancangan Pembangunan Sabah Satu (RPS1).

“Kita tidak mahu lagi mendengar rakyat Sabah hidup dengan air tidak menentu, elektrik sering terputus dan jalan yang tidak sempurna.

“Enam tonggak RPS1 akan menjadi asas perubahan dalam satu penggal,” kata Ahmad Zahid ketika berucap semalam.

Mengulas inti pati manifesto, Zaidy berkata Program Peneroka Muda (PEMUDA) melalui akses tanah TOL akan memberi peluang kepada anak muda membina kehidupan lebih kukuh, manakala Koperasi Usahawan Anak Muda pula menyediakan sokongan bimbingan untuk mereka memulakan perniagaan.

Beliau berkata Dana Khas Sukan dan e-Sukan jelas menunjukkan pengiktirafan terhadap bakat anak muda dalam sukan fizikal dan digital, selain cadangan pembinaan Hub Sukan Permotoran Moden yang dilihat sebagai platform baharu pencungkil bakat dalam dunia permotoran.

Manifesto itu turut memperkenalkan Port Aspirasi Anak Muda di 10 daerah sebagai ruang pembangunan diri dan latihan kemahiran, serta pemberian lesen GDL percuma kepada belia B40 bagi membuka peluang mereka memasuki sektor logistik.

Menurut Zaidy, manifesto berkenaan membuktikan komitmen BN Sabah untuk memastikan anak muda terus dibimbing dan diberi sokongan sewajarnya.

“Ini merupakan huluran tangan kepada generasi yang selama ini menjadi harapan negeri. Dengan pelaksanaan RPS1 dan sokongan tepat, anak muda Sabah mampu membina masa depan lebih cerah,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles