Malaysia tidak akan tunduk kepada tuntutan mana-mana pihak asing terhadap Sabah, demikian tegas bekas menteri luar negeri, Datuk Seri Anifah Aman.
Beliau berkata demikian mengulas dakwaan Setiausaha Luar Negeri Filipina yang mengatakan bahawa Sabah bukan sebahagian daripada Malaysia.
“Kita tidak mengiktiraf dan tidak akan memenuhi tuntutan oleh mana-mana pihak ke atas Sabah.
“Sabah diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan masyarakat antarabangsa sebagai sebahagian daripada Malaysia sejak penubuhan Persekutuan pada 16 September 1963,” katanya dalam satu kenyataan.
Anifah kemudiannya berkata kenyataan Locsin itu hanya akan mewujudkan ketegangan hubungan baik antara Malaysia dan Filipina selain menunjukkan bahawa dirinya tidak tahu tentang sejarah dan undang-undang antarabangsa.
Beliau juga menegaskan Sabah tetap menjadi sebahagian daripada Malaysia dan menyifatkan apa jua tuntutan Filipina sebagai tidak relevan.
Isu tuntutan Sabah menjadi hangat selepas Kedutaan AS di Filipina, yang menyiarkan gambar menerusi ciapan Twitter yang memberi bantuan kepada rakyat Filipina yang dihantar dari Sabah.
Locsin, bagaimanapun membalas ciapan itu dengan berkata Sabah bukan sebahagian daripada Malaysia.
Kenyataan itu mengundang reaksi daripada Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein dengan berkata ia sebagai “kenyataan tidak bertanggungjawab yang mempengaruhi hubungan dua hala”.