Sabah Capai Jualan RM 4.5 Juta di Matta Fair

KUALA LUMPUR: Pemain Industri Pelancongan Sabah mencatat peningkatan ketara dalam jualan dengan jumlah sebanyak RM4.5 juta pada Pameran MATTA yang pertama tahun ini di Kuala Lumpur.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Julinus Jeffery Jimit berkata jumlah ini menunjukkan peningkatan sebanyak 46% berbanding pameran tahun lalu, mengukuhkan lagi status Sabah sebagai destinasi pelancongan domestik pilihan.

Beliau berkata seramai 43 ejen pelancongan dari Sabah menyertai pameran itu yang diketuai oleh Lembaga Pelancongan Sabah (STB) sebagai peneraju utama mempromosikan destinasi itu di zon Sabah.

Julinus menyifatkan kejayaan ini hasil dedikasi dan penglibatan aktif ejen dan agensi pelancongan Sabah, yang mencerminkan semangat kerjasama rakyat Sabah dalam mempromosikan industri pelancongan negeri bersama STB.

Sepanjang acara itu, gerai STB dengan tema “Teroka Sabah Dulu Bah” menggalakkan pengunjung menebus baucar rebat perjalanan sehingga RM100 untuk setiap pembelian, dengan syarat membuat deposit minimum RM600 dalam satu resit.

Manakala bagi menggalakkan pembeli memilih produk pelancongan berasaskan komuniti tawaran baucar rebat perjalanan sebanyak RM50.00 untuk setiap orang diberikan.

Selain itu, untuk memastikan reruai kekal menjadi tarikan, STB memberikan pengalaman realiti maya (VR) disamping menganjurkan aktiviti harian. Kajian soal selidik pengguna juga telah dijalankan untuk mengkaji pelancong domestik.

Dua jenama tempatan turut diperkenalkan iaitu Chanteek Borneo dan Uinah, yang menerima sambutan positif.

Chanteek Borneo mempamerkan pelbagai rekaan pakaian dan tekstil bercorak motif tradisional Sabah, manakala Uinah memperkenalkan minuman tempatan yang menyegarkan dan mempunyai manfaat kesihatan, diperbuat daripada bahan-bahan semula jadi yang diperoleh secara lestari di Sabah.

“STB terus komited dalam meningkatkan usaha promosi di pasaran domestik dan antarabangsa, termasuk penglibatan aktif dalam acara pelancongan utama seperti Pameran MATTA.

“Usaha ini seiring dengan kempen ‘Explore Sabah’ menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026,” tambah Julinus.

Ketua Pegawai Eksekutif STB Tuan Julinus Jeffery Jimit (dua dari kiri) bersama timbalan ketuapegawai eksekutif Puan Tay Shu Lan (kiri) dan Tuan Mohd Azlan Saleh, pengerusi Matta Sabah Chapter dan Tuan Lawrence Chin, ahli lembaga pengarah STB, semasa pelancaran peta AR Sabah.
Ketua Pegawai Eksekutif STB Tuan Julinus Jeffery Jimit (dua dari kiri) bersama timbalan ketua pegawai eksekutif Puan Tay Shu Lan (kiri) dan Tuan Mohd Azlan Saleh, pengerusi Matta Sabah Chapter dan Tuan Lawrence Chin, ahli lembaga pengarah STB, semasa pelancaran peta AR Sabah.

Julinus turut melancarkan Peta Augmented Reality (AR Map) untuk peta Sabah dan peta Bandaraya Kota Kinabalu.

Pengguna boleh mengimbas kod pada peta untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan tempat-tempat tarikan utama. Peta ini menawarkan pengalaman interaktif, dilengkapi dengan garis panduan dan animasi untuk pengguna.

Bahan promosi baharu ini adalah sebahagian daripada inisiatif STB untuk menjadikan pengalaman perjalanan ke Sabah lebih mengasyikkan, menarik dan mudah diakses.

Salinan peta AR ini telah diedarkan kepada tetamu di Matta Fair dan juga boleh dimuat turun dari laman web rasmi STB.

Pada Ogos lalu, STB melancarkan chatbot talian bantuan digital yang dikenali sebagai Avantang, yang menyediakan akses maklumat dan bantuan pelancongan 24 jam.

Kemudahan ini boleh diakses menerusi laman web rasmi STB, akaun WeChat atau nombor WhatsApp +6019-939 2121.

BBerkaitan

Latest articles