Ryt Bank Capai 1.2 Juta Pengguna Dalam Tempoh Tujuh Bulan

KUALA LUMPUR,— Ryt Bank mencatat pencapaian signifikan apabila berjaya meraih lebih 1.2 juta pengguna dalam tempoh hanya tujuh bulan sejak pelancarannya pada Ogos 2025, sekali gus meletakkannya antara bank digital paling pesat berkembang di Malaysia.

Pencapaian tersebut mencerminkan tahap kepercayaan tinggi pelanggan serta kadar penerimaan yang pantas dalam kalangan rakyat Malaysia yang kini beralih kepada platform lebih ringkas dan fleksibel untuk mengurus kewangan harian.

Seiring pertumbuhan pengguna, aktiviti transaksi turut menunjukkan peningkatan ketara apabila jumlah transaksi meningkat lebih 35 kali ganda sejak pelancaran.

Pembayaran bil pula meningkat lebih 10 kali ganda dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini, manakala penggunaan kad terus berkembang dengan lebih ramai pelanggan menggunakan Ryt Card untuk pembelian barangan runcit, makan dan keperluan harian kata syarikat tersebut dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut mereka, Antara pemacu utama pertumbuhan ini ialah Ryt AI yang dibangunkan dengan kerjasama YTL AI Labs menggunakan model AI berdaulat Malaysia, Ilmu. Teknologi ini membolehkan pengguna melaksanakan transaksi seperti pemindahan wang dan pembayaran bil melalui interaksi mudah dan intuitif.

Selain itu, kemudahan Ryt PayLater menawarkan kredit segera sehingga RM1,499 bagi membantu pengguna mengurus perbelanjaan harian seperti barangan dapur, petrol dan bil utiliti. Penggunaan ciri ini lebih tertumpu kepada perbelanjaan asas, mencerminkan pendekatan pengguna dalam mengurus aliran tunai jangka pendek secara lebih berhemah.

Sebahagian besar pelanggan Ryt Bank terdiri daripada segmen yang kurang mendapat perkhidmatan (underserved) dan tidak mendapat akses (unserved), selari dengan fokus bank tersebut dalam memperluas akses kepada kemudahan kewangan asas.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Interim Ryt Bank, Wilson Soon berkata pencapaian itu bukan sahaja mencerminkan jumlah pendaftaran, malah penggunaan aktif dalam kehidupan harian pelanggan.

“Paling penting ialah bagaimana pelanggan menggunakan Ryt Bank setiap hari bukan sekadar mendaftar, tetapi kembali untuk berbelanja, menyimpan dan mengurus kewangan mereka,” katanya.

Beliau turut menegaskan komitmen bank itu dalam menyokong agenda nasional berkaitan keterangkuman kewangan dengan menyediakan perkhidmatan yang lebih mudah diakses dan relevan kepada semua lapisan masyarakat.

Perluas Tawaran Perkhidmatan

Berdasarkan momentum semasa, Ryt Bank bakal memperkenalkan Ryt PayLater on Card dalam masa terdekat, yang membolehkan pengguna memilih untuk membayar segera atau secara ansuran menggunakan satu kad. Selain itu, ciri Ryt Invest akan dilancarkan bagi membolehkan pengguna mula melabur secara terus melalui aplikasi.

Inisiatif ini menandakan peralihan daripada sekadar memudahkan transaksi kepada menyokong pengurusan dan pertumbuhan kewangan pengguna secara menyeluruh.

Maklumat lanjut boleh didapati melalui laman web rasmi www.rytbank.my serta platform media sosial Ryt Bank.

BBerkaitan

Latest articles