RUU URA: Jaminan Lindungi Kepentinga Rakyat, Terutama Melayu Bandar

KUALA LUMPUR: Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) yang dibentangkan kerajaan tidak bertujuan menindas mana-mana pihak, sebaliknya memastikan rakyat, khususnya masyarakat Melayu di bandar, tidak terus hidup dalam keadaan daif.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, undang-undang itu digubal dengan prinsip keadilan apabila sesuatu projek pembangunan hanya boleh dilaksanakan sekiranya mendapat persetujuan 80 peratus daripada penduduk terlibat.

“Baki 20 peratus yang tidak bersetuju tetap dijamin hak mereka dengan pampasan setimpal. Tidak wajar suara minoriti menghalang majoriti yang mahukan perubahan,” katanya ketika menjawab soalan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin (PN–Larut) pada sesi Soal Jawab Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengimbas pengalamannya di Tanjung Tokong, Pulau Pinang, Anwar berkata, lebih 200 keluarga Melayu pernah hidup dalam keadaan serba kekurangan kerana bantahan segelintir keluarga yang enggan berpindah, sekali gus menghalang projek perumahan dilaksanakan.

“Akhirnya, saya membuat keputusan memindahkan 13 keluarga itu kerana tidak sanggup melihat orang Melayu terus terbiar. Hasilnya, kawasan itu kini pesat membangun,” jelas beliau.

Mengenai kebimbangan terhadap ketahanan struktur kediaman lama, Anwar menegaskan bahawa kebanyakan rumah berusia 40 hingga 60 tahun sudah tidak sesuai didiami walaupun ada pandangan bahawa ia mampu bertahan lebih lama.

“Jika kita mahu menyelesaikan masalah sosial dan ekonomi rakyat, pindaan undang-undang ini perlu dilaksanakan. Ia mungkin tidak sempurna, tetapi asasnya ialah menyediakan kediaman lebih selesa untuk rakyat,” katanya.

Dalam masa sama, beliau memberi jaminan kerajaan terbuka menerima sebarang cadangan, termasuk daripada pihak pembangkang, bagi menambah baik RUU berkenaan.

“Janganlah dituduh kerajaan mahu menindas Melayu atau menjadi boneka. Itu tidak benar. Sebaliknya, tanggungjawab saya ialah mempertahankan kepentingan Melayu dan bumiputera, majoriti rakyat negara ini, supaya mereka tidak terus hidup merempat,” tegasnya.

Anwar turut mengingatkan supaya pindaan undang-undang itu tidak dijadikan polemik perkauman, sebaliknya dilihat sebagai langkah membina bandar yang lebih seimbang.

“Kita tidak boleh biarkan bandar penuh dengan menara tinggi, tetapi majoriti rakyat, iaitu orang Melayu, tinggal di rumah usang. Justeru, pindaan ini amat penting,” katanya.

Sebelum ini, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menegaskan Tanah Rizab Melayu tidak akan terjejas di bawah pelaksanaan undang-undang itu, malah pampasan yang diberikan akan mengikut harga pasaran semasa.

BBerkaitan

Latest articles