RUU Tahanan Di Rumah Dijangka Dibentang Di Parlimen Penghujung Tahun Ini

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) baharu berkaitan tahanan di rumah dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada sesi Parlimen penghujung tahun ini

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan perkara itu dalam program Analisis Madani bertajuk Malaysia Aman: Kedaulatan dan Keselamatan yang disiarkan secara langsung di TV Al Hijrah malam tadi.

Menurut Saifuddin, Kementerian Dalam Negeri (KDN) kini giat mengadakan perbincangan dengan Jabatan Peguam Negara bagi merangka penggubalan akta tersebut.

“KDN sedang dalam proses meminda Akta Penjara 1995. Kelulusan Kabinet dari segi dasar telah diperoleh.

“Ketika ini, KDN juga berbincang dengan Jabatan Peguam Negara untuk menggubal akta berkaitan tahanan di rumah. Kami menjangkakan ia akan dibentangkan pada sesi Parlimen hujung tahun ini,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa pada masa ini tiada undang-undang yang membolehkan pelaksanaan tahanan di rumah, sebaliknya hanya terdapat perintah pembebasan berlesen, perintah kehadiran wajib, atau parol.

Program berkenaan dikendalikan oleh personaliti televisyen, Talib Husin, dan turut menampilkan Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin sebagai tetamu.

Menurut portal rasmi Parlimen Malaysia, sesi terakhir Dewan Rakyat tahun ini dijadualkan berlangsung dari 6 Oktober hingga 4 Disember 2025.

Fokus kepada Tahanan Reman

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata bahawa pada peringkat awal, tahanan di rumah akan membabitkan individu yang berada dalam kategori tahanan reman sahaja.

“Buat permulaan, kita sasarkan mereka yang ditahan reman dalam penjara, bukan individu yang telah disabitkan hukuman.

“Ketika ini, jumlah tahanan reman di penjara adalah sekitar 29,000 orang, termasuk 8,000 hingga 9,000 yang ditahan atas kes berat seperti rogol atau bunuh.

“Namun, bagi kes berat, mereka akan dikecualikan. Jadi, sekitar 20,000 tahanan reman yang disasarkan untuk program ini, khususnya mereka yang menghadapi tuduhan dengan hukuman penjara kurang tiga tahun,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa pengenalan RUU ini bertujuan mengurangkan kesesakan di institusi penjara, yang kini menempatkan lebih 87,000 penghuni di seluruh negara.

BBerkaitan

Latest articles