AMPANG: Misteri kehilangan seorang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sejak 24 Ogos lalu terungkai apabila dia ditemui bersembunyi di sebuah kondominium di Ampang Jaya, tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, lelaki berusia 27 tahun itu, Ammar Ariffin, dijumpai bersama teman wanitanya di sebuah unit milik wanita terbabit sekitar jam 1.30 petang.
“Penemuan itu hasil pemeriksaan sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang selepas menerima maklumat mengenai keberadaan mangsa,” katanya seperti dipetik Berita Harian.
Siasatan awal mendapati Ammar dipercayai menyorok di unit berkenaan selepas terbabit dalam satu kemalangan kecil dengan sebuah kenderaan milik pegawai tentera di Subang pada 22 Ogos.
Selepas insiden itu, dia menghilangkan diri namun berjaya dihubungi semula oleh pegawai terbabit melalui nombor plat kenderaannya.
Ammar sebelum ini dilaporkan hilang selepas menghadiri kursus di Institut Latihan Pengurusan Material (Insmat) TUDM, Bandar Kinrara.
Kali terakhir dia dilihat ialah ketika mandi bersama rakan-rakan di Sungai Kedondong, Batang Kali pada 23 Ogos lalu.
Kehilangannya disedari sehari kemudian apabila rakan sebilik gagal menghubunginya dan telefon bimbitnya dimatikan.
Keluarga yang bimbang kemudian membuat laporan polis, diikuti laporan kedua oleh pegawai TUDM selepas Ammar tidak melapor diri.
Menurut Muhamad Farid, pemeriksaan mendapati tiada sebarang kecederaan pada tubuh Ammar dan unsur jenayah juga tidak ditemui.
“Buat masa ini, polis sedang mendapatkan penjelasan penuh daripadanya berhubung kehilangan selama beberapa hari tersebut,” katanya.