KUALA LUMPUR: Berang rupa anaknya dihina oleh seorang pengguna media sosial, pelakon dan personaliti media sosial, Syifa Melvin bertindak membuat laporan polis pada malam Isnin.
Bukan itu sahaja, Syifa atau Nur Syifa Atirah Amirul Melvin, 30, memberitahu selepas ini dia akan ke pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi tindakan selanjutnya.
“Maaf lambat buat laporan polis sebab baru turun dari Bukit Tinggi, Pahang. Maaf sangat.
“Esok saya pergi MCMC pula sebab malam dah tutup,” katanya.
Syifa berkongsi perkara itu menerusi satu hantaran di Instastory miliknya pada malam Isnin.
Dalam hantaran berkenaan, Syifa dilihat menyanyikan lagu Gerimis Mengundang dendangan kumpulan Slam sambil menunjukkan laporan polis yang sudah dibuat.
Pada Ahad lalu, Syifa meluahkan rasa bengang apabila seorang individu menyamakan wajah anak lelakinya iaitu Saif Sulaiman dengan haiwan.
Aktres itu berkata dia sama sekali tidak akan berlembut sekiranya dapat bertemu dengan individu berkenaan yang menggunakan nama Nur Lily Ilyani di Instagram.
Malah Syifa percaya wanita berkenaan berselindung di sebalik akaun palsu dan meminta orang ramai membantu menjejaki individu tersebut.
Untuk rekod, Syifa mendirikan rumah tangga dengan pemain bola sepak Kebangsaan iaitu Safawi Rashid pada 28 November 2022.
Pada September tahun lalu, pasangan ini dikurniakan seorang anak lelaki yang kini berusia setahun.