KUALA LUMPUR: Aktivis Tamim Dahri Abdul Razak mencetuskan polemik apabila menyatakan kesediaan untuk pulang ke Malaysia dan menyerah diri kepada polis dalam masa terdekat, namun meletakkan syarat kontroversi melibatkan perobohan empat kuil yang didakwa tidak berdaftar.
Tamim Dahri, 34, mendakwa lokasi terbabit ialah kuil di Jalan Pandanmas, Hospital Bukit Mertajam, tapak lama Seafield dan kawasan Jakel.
Kenyataan itu dimuat naik menerusi media sosial miliknya, sekali gus mengundang pelbagai reaksi.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, mengesahkan pihak berkuasa sedang giat mengesan lokasi aktivis berkenaan yang dipercayai berada di luar negara.
Menurut beliau, hasil risikan mendapati Tamim Dahri pernah dikesan berada di Thailand dan dipercayai kini berada di Tanah Suci.
“Tindakan untuk mendakwanya di mahkamah sudah dibuat. Apabila tiba masa, kita akan membawanya ke muka pengadilan,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman.
Tamim Dahri sebelum ini dijadualkan didakwa di Mahkamah Langkawi di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan atas pertuduhan merosakkan objek soolam, simbol suci penganut Hindu di tapak lama Kuil Sri Maha Muniswarar, Kedah.
Bagaimanapun, prosiding itu ditangguhkan susulan ketiadaannya dalam negara.
Dalam perkembangan berkaitan, polis turut memaklumkan beberapa individu lain termasuk Zamri Vinoth, Arun Dorasamy dan P Mahendra Boopathy akan didakwa berhubung kes provokasi agama.










