Rundingan Sebelum PRU15: Timbul Pemahaman Luar Konteks Kenyataan Saifuddin

KUALA LUMPUR: Jika kelmarin Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyatakan wujudnya rundingan bersama gabungan politik lain dimulakan sebelum PRU15, namun kenyataan yang berbeza pula datang dari Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Beliau menegaskan adalah sesuatu yang mustahil bagi PH untuk berunding membentuk Kerajaan Perpaduan sebelum PRU15.

Rafizi, yang juga Menteri Ekonomi berkata, mungkin timbul pemahaman luar konteks dalam mentafsir kenyataan Saifuddin bahawa usaha membentuk Kerajaan Perpaduan sudah digerakkan lebih awal.

“Saya sudah tanya dia (Saifuddin) soalan itu semalam kerana sudah tentu ia akan timbulkan banyak tanda tanya kerana di peringkat Pakatan Harapan (PH) dan PKR memang tidak ada sebarang perbincangan sebelum PRU15.

“Memang keputusan secara strategi pilihan raya ialah untuk masuk dan menang 112 kerusi sekurang-kurangnya dan beliau menjelaskan sama ada kenyataannya itu disalah faham atau mungkin pandangan itu tidak sampai kepada pembaca.

“Konteks beliau ialah memang hubungan dari segi tidak mencari musuh politik dan menjalin kerjasama, menghormati hatta bersama UMNO sekali pun, itu memang diamalkan PKR dan PH sejak dari awal.

“Itu yang membolehkan dan memudahkan proses rundingan sehingga Kerajaan Perpaduan dapat ditubuhkan dalam masa yang cepat,” katanya pada sidang media, hari ini.

BBerkaitan

Latest articles