KUALA LUMPUR: Premier Sarawak Abang Johari Openg berkata masih terdapat perkara yang perlu diselesaikan berhubung isu minyak dan gas Petronas dan Petroleum Sarawak Bhd (Petros).
“Lebih kurang muktamad, tetapi masih ada perkara samar-samar disebabkan salah maklumat. Hakikatnya, situasi jelas tetapi maklumat salah mengeruhkan keadaan,” katanya, lapor The Borneo Post.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian jual beli bagi pengambilalihan MASwings antara kerajaan negeri dan Malaysia Aviation Group di Kuching.
Minggu lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said dilaporkan berkata, Sarawak mengiktiraf dan menerima Akta Kemajuan Petroleum 1974 (Akta 144) sebagai akta menentukan tatakelola dasar dan pengoperasian industri petroleum di Malaysia, bukan ordinan negeri.
Katanya, perkara itu antara dipersetujui dalam mesyuarat antara Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Abang Johari pada 7 Jan lepas.
Dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat, Azalina berkata, semua komitmen perjanjian sedia ada antara Petronas dan pihak ketiga, termasuk Petros, melibatkan kegiatan petroleum di Sarawak, adalah sah, perlu diterima pakai dan akan diteruskan tanpa sebarang perubahan.
Menteri itu juga berkata, Petronas telah menerima peranan Petros sebagai agregator gas tunggal bukan gas asli cecair (LNG).
Menurutnya, Putrajaya, Sarawak, Petronas dan Petros sedang menghalusi beberapa perkara, termasuk dari segi kesan perundangan yang berkaitan