Rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-EU Diteruskan

KUALA LUMPUR: Sejarah bagi Malaysia dan Kesatuan Eropah (EU) sekali lagi dilakar apabila kedua-dua pihak mengumumkan menyambung semula rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia dan Kesatuan Eropah (MEUFTA).

Pemeteraian rundingan itu dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Presiden Suruhanjaya Eropah (EC) Urusula von der Leyen sempena lawatan kerja Anwar ke Brussels, Belgium yang berakhir hari ini.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) menerusi kenyataan media berkata langkah menyambung semula rundingan itu juga menandakan satu pencapaian penting dalam usaha mengukuhkan hubungan ekonomi Malaysia dengan salah satu blok perdagangan terbesar dunia, selain mencerminkan komitmen lebih erat dengan Kesatuan Eropah (EU), antara rakan perdagangan dan pelaburan utama bagi Malaysia.

Pencapaian ini juga menggambarkan kekuatan hubungan berterusan antara kedua-dua belah pihak dan komitmen bersama dalam memupuk kemakmuran ekonomi.

“MEUFTA dijangka membuka manfaat besar yang merentasi pelbagai sektor ekonomi Malaysia selain mengukuhkan rantaian bekalan global dalam sektor-sektor kritikal.

“Ia berpotensi untuk meningkatkan eksport dari sektor-sektor seperti produk elektrik dan elektronik, minyak sawit, dan produk berasaskannya serta peralatan optik dan saintifik ke pasaran EU,” katanya.

MEUFTA juga akan memainkan peranan sebagai pemangkin dalam menarik pelaburan baharu EU dalam sektor termaju seperti tenaga hijau dan pembuatan termaju, selaras dengan matlamat pembaharuan industri dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030.

Pada 2023, EU merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia dengan nilai perdagangan mencecah RM206.79 bilion.

Bagi tempoh Januari hingga November 2024, perdagangan dengan blok itu juga meningkat 5.2% kepada RM200 bilion, berbanding tempoh sama pada 2023.

Sehingga 2023, pelaburan EU di Malaysia telah menjana lebih daripada 153,000 pekerjaan melalui sejumlah 1,323 projek yang bernilai RM227.9 bilion.

Rundingan MEUFTA yang disambung semula itu adalah bukti visi bersama dalam kerjasama ekonomi dan aspirasi untuk membuka potensi perdagangan dan pelaburan.

“Kerajaan Malaysia komited untuk mencapai perjanjian yang seimbang dan menyeluruh kepada semua pihak berkepentingan, di samping memastikan faedah bersama Malaysia dan EU.”

Selain itu, kata PMO, kerajaan akan terus mengadakan libat urus dengan pemain industri dan pihak berkepentingan yang berkaitan untuk memastikan MEUFTA mencerminkan kepentingan nasional dan aspirasi ekonomi Malaysia.

BBerkaitan

Latest articles