KOTA KINABALU: Mesyuarat pertama bagi membincangkan isu tuntutan 40 peratus hasil bersih yang diperoleh dari Sabah akan berlangsung Isnin depan di Menara Kinabalu.
Ia sekaligus menandakan permulaan rundingan rasmi antara kerajaan negeri dan Persekutuan berhubung hak kewangan yang termaktub dalam Perlembagaan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, langkah mempercepatkan rundingan menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk menyelesaikan perkara itu secara tuntas, selaras dengan keputusan Mahkamah Tinggi.
Menurutnya, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Merican akan mengetuai delegasi Kerajaan Persekutuan, manakala Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Safar Untong mengetuai pasukan rundingan negeri.
Dalam sidang media yang sama, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan Jemaah Menteri turut bersetuju menggantikan wakil Sabah dalam Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63.
Armizan dilantik sebagai wakil baharu menggantikan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, bagi memastikan kesinambungan rundingan yang lebih kukuh.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan hanya akan merayu aspek alasan penghakiman yang mendakwa kajian semula pemberian khas selepas 2021 adalah tidak sah dan menyalahi undang-undang.
Bagaimanapun, beliau menekankan Kerajaan Persekutuan tidak akan mencabar keputusan berkaitan pemberian khas 40 peratus hasil kepada Sabah, sekali gus menamatkan spekulasi mengenai pendirian Putrajaya terhadap hak negeri itu.










