Rumah Terapung Dua Tingkat Siap Dengan Kereta Mewah Milik Pempengaruh Disita

KUALA NERUS: Tindakan berani seorang pempengaruh media sosial membina rumah terapung dua tingkat di tengah laut berakhir apabila struktur tersebut bersama sebuah kereta mewah di atasnya disita Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam operasi di perairan Pulau Bidong, semalam.

Dalam serbuan kira-kira jam 6 petang itu, platform yang ditunda oleh sebuah bot penumpang dikesan 29.63 kilometer dari barat laut Kuala Terengganu sebelum disita pihak berkuasa.

Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Hamiludin Che Awang, berkata enam individu berusia 21 hingga 32 tahun, termasuk pempengaruh lelaki terbabit, turut ditahan.

“Siasatan mendapati platform berkenaan dijadikan lokasi penggambaran dan ditunda menggunakan sebuah bot dengan sebuah lagi bot lain mengiringi pergerakan itu.

“Pemeriksaan awal menunjukkan binaan tersebut tidak dilengkapi peralatan keselamatan serta beroperasi tanpa lesen sah daripada Jabatan Laut,” katanya.

Menurut beliau, tindakan itu bukan sahaja menyalahi undang-undang malah boleh membahayakan keselamatan kru, penumpang serta pengguna perairan lain.

Platform bersama kereta mewah di atasnya kini disita untuk siasatan lanjut.

BBerkaitan

Latest articles