Rumah Jagaan Anak Yatim Di Kulai Ditutup Sementara, Pemilik Terbabit Kes Rogol, Dera

KUALA LUMPUR: Bukan sahaja penderaan, pemilik rumah jagaan anak yatim swasta di Taman Mas di Kulai yang tular baru-baru ini juga disyaki turut merogol penghuninya yang berusia 17 tahun sejak minggu lalu.

Hal itu dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail sambil berkata, kerajaan mengarahkan penutupan sementara rumah jagaan terbabit di bawah Seksyen 15 Akta Pusat Jagaan 1993 (Akta 506) dengan kuasa Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia.

“Pada 9 Disember lalu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor telah menjalankan siasatan awal dan mendapati seramai 55 kanak-kanak berada di rumah jagaan terbabit.

“Hasil siasatan dan intervensi awal, daripada jumlah itu, 32 kanak-kanak dipulangkan kepada ibu bapa kandung mereka pada 10 Disember lalu.

“Baki 23 kanak-kanak, terdiri daripada 10 lelaki dan 13 perempuan telah diselamatkan dan ditempatkan di tempat selamat di bawah kendalian JKM yang telah diwartakan di bawah Akta Kanak-kanak 2001.

“(Seramai) 23 kanak-kanak yang diselamatkan itu dibawa ke Mahkamah Kanak-Kanak pada 11 Disember untuk mendapatkan perintah sementara mengikut Seksyen 19(2) Akta Kanak-Kanak 2001. Mahkamah membenarkan mereka ditempatkan di tempat selamat yang diwartakan di bawah akta berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairin-Nisa berkata, pihaknya memandang serius kes terbabit dan menegaskan kerajaan negeri dan JKM komited menangani isu penderaan kanak-kanak.

Beliau memberitahu, kes berkenaan masih lagi dalam tindakan pihak polis untuk siasatan lanjut.

“Terima kasih diucapkan kepada polis Johor, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) dan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) yang turut membantu JKM menangani isu ini,” ujarnya.

Beliau menggalakkan orang ramai melaporkan kejadian penderaan kepada pihak polis atau JKM talian kasih 15999 yang beroperasi 24 jam juga disediakan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

“Sekiranya berlaku penderaan, individu yang mengetahui penderaan hendaklah melaporkan perkara tersebut kepada Pelindung di Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah seperti di bawah seksyen 29A Akta Kanak-kanak 2001 (Pindaan) 2016.

“Diharap dengan tindakan proaktif daripada masyarakat dalam memberi maklumat kepada pihak berkuasa, ia dapat mencegah kejadian yang tidak diingini daripada berulang,” katanya.

Kelmarin, media melaporkan pengerusi yang juga pemilik rumah jagaan tersebut didakwa atas dua pertuduhan merogol penghuni berusia 17 tahun dan penganiayaan kanak-kanak di Mahkamah Sesyen Johor Bahru.

Bagaimanapun tertuduh iaitu lelaki berusia 59 tahun mengaku tidak bersalah.

Terdahulu, satu rakaman video tular dalam media sosial berdurasi 56 saat dipercayai berlaku di pusat jagaan sama, memaparkan seorang lelaki memukul kanak-kanak perempuan dengan pembaris kayu panjang.

Lelaki dipercayai berusia lewat 50an memukul kanak-kanak perempuan terbabit dengan disaksikan beberapa lagi kanak-kanak lain, biarpun mangsa sudah memohon maaf.

Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee dilapor berkata, pihaknya menerima laporan berhubung insiden itu pukul 10.29 malam pada 8 Disember lalu dan siasatan awal mendapati kejadian di sebuah rumah jagaan anak yatim swasta di Taman Mas yang membabitkan mangsa berusia 10 tahun yang juga penghuni rumah jagaan itu.

BBerkaitan

Latest articles